sarah14/10/2026 - 12:11 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Jerebu berpanjangan boleh menyebabkan kerugian ekonomi Malaysia antara RM600 juta hingga RM1.5 bilion sebulan, susulan gangguan aktiviti perniagaan, peningkatan kos kesihatan dan kemerosotan produktiviti pekerja, menurut pakar ekonomi.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, berkata kerugian akibat jerebu boleh mencecah RM20 juta hingga RM50 juta sehari, malah angka itu merupakan anggaran konservatif, lapor The Star.
Beliau berkata, jerebu pada 1997 menyebabkan kerugian kira-kira RM800 juta, manakala episod pada 2013 mengakibatkan kerugian RM1.57 bilion dari segi kos kesihatan dan kehilangan pendapatan. Jerebu serantau pada 2019 pula dianggarkan menyebabkan kerugian AS$5.2 bilion(RM21.22 billion) di kawasan terjejas.
“Sektor yang paling terkesan ialah pelancongan dan penerbangan. Pencemaran udara boleh mengurangkan ketibaan pelancong sehingga 8%, dengan kerugian keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah RM1.5 bilion,” katanya.
Dalam sektor pertanian dan perladangan, petani sayur di Johor melaporkan penurunan pengeluaran, manakala hasil buah-buahan merosot sehingga separuh. Industri sawit juga berdepan kesan tertangguh antara enam hingga 12 bulan, katanya.
Jerebu turut menjejaskan logistik dan pengangkutan akibat jarak penglihatan yang terhad, menyebabkan kelewatan penghantaran. Aktiviti pembinaan juga menjadi perlahan atau terpaksa dihentikan, manakala produktiviti pekerja terjejas akibat cuti sakit, penutupan sekolah dan kelembapan perniagaan runcit perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pakar perubatan kesihatan awam, Dr Mohd Hafiz Jaafar, berkata kajiannya di Selangor mendapati peningkatan kunjungan ke hospital dan klinik ketika musim jerebu menyebabkan kos tambahan kira-kira RM14.6 juta antara 2012 hingga 2015.
Beliau berkata, kos penyakit berkaitan jerebu di peringkat nasional meningkat daripada kira-kira RM21 juta pada 1997 kepada RM410 juta pada 2013, tidak termasuk kesan terhadap sistem kardiovaskular.
“Angka itu hanya merangkumi kos rawatan penyakit pernafasan. Jerebu turut menjejaskan jantung dan saluran darah, yang belum dikira sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, kos sebenar turut melibatkan cuti sakit, kehilangan pendapatan, ketidakhadiran murid ke sekolah, gangguan penerbangan dan kemerosotan aktiviti perniagaan. Kebakaran hutan pada 2015 di Indonesia, misalnya, dianggarkan Bank Dunia menyebabkan kerugian US$16 bilion (RM65.31 bilion), hampir 2% daripada KDNK negara itu.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh persediaan menghadapi jerebu tahunan melalui sistem amaran awal, panduan kesihatan awam yang jelas serta perlindungan kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap asma atau penyakit jantung.
Malaysia juga wajar bekerjasama dengan Indonesia dalam usaha pencegahan di punca, termasuk melalui pembiayaan, sokongan teknikal dan pemantauan, katanya, sambil menegaskan kerjasama kerajaan Indonesia amat penting.
Beliau turut menggesa sidang kemuncak serantau diadakan bagi memastikan komitmen yang lebih berkesan, memandangkan episod jerebu berulang pada 1997, 2006, 2013, 2015, 2019 dan tahun ini terus meningkatkan kos kesihatan, mengurangkan produktiviti serta mengganggu persekolahan.
“Pencegahan lebih murah berbanding menanggung kos krisis yang sama setiap beberapa tahun. Kerugian yang ditanggung terlalu besar untuk diabaikan,” katanya. - DagangNews.com




