Pelaburan grid dan penggunaan tenaga boleh baharu pacu peralihan tenaga negara – CGSI

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 9:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan grid dan penggunaan tenaga boleh baharu pacu peralihan tenaga negara – CGSI Image from: Pelaburan grid dan penggunaan tenaga boleh baharu pacu peralihan tenaga negara – CGSI sarah12/10/2026 - 09:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt -- Pelaburan dalam infrastruktur grid dan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dijangka menjadi pemacu utama peralihan tenaga Malaysia susulan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, Belanjawan 2027 memperkukuh komitmen kerajaan untuk memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerusi pelbagai inisiatif meliputi infrastruktur grid, solar berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga.

 

Antara langkah utama ialah pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memperkukuh grid nasional, peruntukan RM1.5 bilion untuk taman solar berpusat serta komitmen RM1 bilion oleh UEM Lestra bagi inisiatif peralihan tenaga.

 

Menurutnya, pelaburan berkenaan dijangka menyokong aktiviti sepanjang rantaian nilai sektor tenaga, manakala peruntukan RM204 juta bagi sistem pemampas segerak statik (STATCOM) di Sabah dan penerusan projek penghantaran Southern Link mengukuhkan tumpuan terhadap kebolehpercayaan grid serta keselamatan bekalan elektrik.

 

Selain itu, Dana Iklim+ bernilai RM1 bilion yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dijangka menyediakan sokongan pembiayaan tambahan bagi pembangunan tenaga boleh baharu dan usaha penyahkarbonan.

 

Penyertaan TNB dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam projek tenaga rentas sempadan di bawah Grid Kuasa ASEAN (APG) turut mencerminkan tumpuan lebih luas terhadap kesalinghubungan serantau dan keselamatan tenaga.

 

Secara keseluruhan, CGSI berkata inisiatif berkenaan menyokong peralihan tenaga Malaysia menerusi pelaburan grid, penggunaan tenaga boleh baharu dan integrasi serantau.

 

re

 

 

Perubahan insentif cukai hijau boleh kurangkan manfaat CRESS

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan perubahan insentif cukai teknologi hijau berpotensi mengurangkan sebahagian manfaat yang diperoleh daripada Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

 

Walaupun pelanjutan insentif cukai teknologi hijau sehingga 2030 memberikan kepastian dasar untuk tempoh lebih panjang, CGS International menyuarakan kebimbangan terhadap layanan yang kurang menggalakkan bagi projek solar baharu yang beroperasi secara kendiri di bawah rangka kerja Belanjawan 2027 yang disemak semula.

 

Solar tidak lagi disenaraikan secara jelas sebagai aktiviti yang layak di bawah rangka kerja Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) bagi projek untuk tujuan perniagaan.

 

Menurut firma itu, kemungkinan kehilangan kelayakan elaun cukai berkenaan boleh meningkatkan kadar pulangan yang diperlukan oleh pemaju, sekali gus memberi tekanan menaik terhadap tarif projek.

 

Berdasarkan anggaran awal CGS International, tarif CRESS perlu meningkat kira-kira dua sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) untuk mengekalkan kadar pulangan dalaman (IRR) projek.

 

Kenaikan itu berpotensi mengimbangi sebahagian manfaat daripada pengurangan Caj Akses Sistem (SAC) di bawah pakej pecutan CRESS yang diumumkan baru-baru ini.

 

CGS International berkata pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut mengenai kriteria kelayakan serta kemungkinan peruntukan peralihan bagi rangka kerja insentif cukai yang disemak semula.

 

Kesinambungan dasar kekalkan prospek sektor positif

Secara keseluruhan, CGSI berkata, walaupun Belanjawan 2027 memperkenalkan beberapa langkah dasar baharu yang terhad bagi sektor utiliti, belanjawan itu mengekalkan kesinambungan dasar peralihan tenaga Malaysia.

 

Bersama Pakej Pecutan CRESS yang diumumkan baru-baru ini, pelaburan grid dan penggunaan tenaga boleh baharu yang berterusan dijangka menyokong penerimaan tenaga hijau oleh syarikat korporat serta pelaburan sepanjang rantaian nilai tenaga elektrik.

 

Bagaimanapun, layanan cukai yang kurang menggalakkan terhadap projek solar baharu berpotensi mengurangkan sebahagian manfaat penambahbaikan ekonomi CRESS susulan pengurangan SAC.

 

Meskipun begitu, CGSI mengekalkan prospek struktur positif terhadap sektor utiliti Malaysia, disokong peningkatan permintaan elektrik dan peralihan tenaga yang berterusan.

 

Antara pemangkin sektor termasuk pelaksanaan dasar yang lebih pantas, peluasan kapasiti tenaga boleh baharu serta pulangan projek baharu yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Sebaliknya, risiko penurunan termasuk kelewatan pelaksanaan NETR, perubahan peraturan yang kurang menggalakkan dan penangguhan projek. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved