
PETALING JAYA – Tiada siapa akan dilindungi sekiranya didapati menyeleweng dan mengkhianati amanah rakyat, termasuk dalam isu membabitkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda.
Tegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan.
Beliau berkata, perbuatan segelintir individu yang mengambil kesempatan terhadap institusi berkenaan akhirnya menyebabkan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibat.
“Saya tegaskan bahawa kita tidak akan melindungi atau membiarkan sesiapa terlepas, kerana perbuatan sakau segelintir manusia ini telah menyebabkan kita semua, sama ada Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak serta yang lain, terpaksa menanggung akibatnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar hadir pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.
Sementara itu, Anwar menjelaskan tentang keadaan kerajaan yang masih bergelut dengan saki-baki kebobrokan dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Kalau kita tidak bertindak, kita dituduh lemah dan mengkhianati reformasi. Kalau bertindak pula, kita dituduh berdendam. Katakanlah apa sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha membongkar isu membabitkan Felda selepas penelitian terhadap isu penyelewengan di TH selesai.
Beliau berkata, perkara itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menitahkan supaya siasatan terhadap institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH. – KOSMO! ONLINE
The post Sakau Tabung Haji, Felda…tiada siapa akan dilindungi – Anwar appeared first on Kosmo Digital.






