Kerajaan bongkar isu Felda selepas Tabung Haji 

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 10:39 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan bongkar isu Felda selepas Tabung Haji 

MELAKA: Kerajaan akan meneruskan usaha membongkar isu berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas selesai meneliti isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR berkata, perkara itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu siasatan terhadap institusi milik rakyat tidak terhenti setakat isu TH.

“Agong memaklumkan kepada saya, Perdana Menteri, jangan berakhir dengan isu Tabung Haji sahaja. Teruskan.

“Tuanku tanya pada saya siapa jaga Felda sekarang. Saya jawab, saya. Maka, selesaikan Tabung Haji, bongkarkan Felda pula,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan membuat hukuman atau menuding jari terhadap mana-mana pihak sebelum wujud kepastian, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada badan penguat kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.

“Bukan hukum selepas kita ada kepastian. Ada juga masalah, kita terus menunding jari. Jangan. Biar badan penguatkuasaan siasat dan bertindak secara profesional.

“Tapi sebagai orang yang bertanggungjawab, saya hanya menyarankan jangan bertolak ansur, jangan hirau parti mana, jawatan mana, kaum mana. Salah, tangkap dan dakwa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berdepan kritikan apabila tindakan penguatkuasaan diambil, termasuk dakwaan bahawa kerajaan berada dalam keadaan panik atau Perdana Menteri terdesak.

“Kalau diambil tindakan, namanya dendam. Tak ambil tindakan, namanya lembab. Apa pun yang diperkatakan, saya mahu menjawab di Kongres Keadilan di Melaka ini bahawa proses dan tindakan lebih tegas bermula sekarang.

“Arahan tindakan, tangkap urusan polis, penjara urusan hakim,” katanya. –UTUSAN 

The post Kerajaan bongkar isu Felda selepas Tabung Haji  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved