
KUALA PILAH – Salah faham berhubung bayaran makanan yang diambil di koperasi sekolah dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua cedera selepas ditumbuk pelajar senior di sebuah asrama sekolah di sini, 27 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas seorang pelajar junior memberitahu beberapa pelajar senior lain bahawa mereka boleh mengambil makanan di koperasi kerana mahu membelanja mereka.
Bagaimanapun, makanan yang diambil itu ada diantaranya tidak dibayar, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati seorang pelajar senior.
“Makanan koperasi tu ada yang dijelaskan bayarannya oleh junior berkenaan dan ada yang tidak. Jadi hasil siasatan mendapatkan, bayaran yang diambil suspek di koperasi tidak dibayar.
“Suspek kemudiannya menumbuk mangsa di bahagian tangan dan paha,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan hanya melibatkan perselisihan faham antara dua pelajar dan tidak mempunyai unsur buli atau pemerasan.
Katanya, tindakan suspek dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung isu makanan yang diambil tanpa bayaran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa berusia 14 tahun dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar senior berusia 16 tahun sebelum dipukul.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini dan pemeriksaan mendapati dia mengalami kecederaan tisu lembut.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian berkenaan sebagai kes pelajar junior cedera dipercayai dipukul senior di asrama sekolah di daerah ini. – KOSMO! ONLINE
The post Salah faham isu bayaran makanan koperasi punca junior ditumbuk appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Polis Johor sahkan laporan Kosmo!, dendam cinta ditolak punca Irene dibunuh](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/irene-1024x645.jpeg)




