
KEMAMAN - Polis menahan tiga lelaki warga Rohingya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kesalahan seksual membabitkan seorang wanita kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dua hari lalu.
Menurutnya, polis telah mendapatkan perintah reman selama lima hari terhadap semua suspek sehingga 12 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan telah membuat tangkapan. Kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki berketurunan Rohingya.
“Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Mohd Razi pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung kes berkenaan, memandangkan siasatan masih berjalan.
Beliau berkata, polis sedang berusaha mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang mungkin terbabit dalam kejadian itu.
“Kita perlu meneliti kes ini secara menyeluruh dan mangsa juga perlu diberikan masa serta ruang yang sewajarnya sebelum siasatan selesai, memandangkan mangsa merupakan seorang wanita OKU berusia 23 tahun,” katanya.
Mohd Razi turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan panik, kekacauan atau mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
Beliau pada masa sama menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru terhadap mana-mana individu Rohingya susulan kejadian berkenaan.
“Tindakan sedemikian secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka terjerumus dalam kegiatan jenayah.
“Polis sentiasa bersedia untuk menerima maklumat daripada orang ramai dan memberikan penjelasan berhubung kes ini pada bila-bila masa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Hadaza Mat Amin, di talian 09-8592222.
Terdahulu, sekumpulan orang awam berkumpul di luar sebuah blok rumah pangsa di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, kira-kira jam 8.30 malam semalam selepas dakwaan mengenai kejadian itu tular di media sosial. - Getaran, 9 Ogos 2026






