Astro Malaysia Holdings Berhad bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) telah mengumumkan kerjasama strategik baharu untuk menambah pilihan kandungan kepada pengguna. Dengan pengumuman ini, rancangan asal RTM menamatkan penawaran saluran mereka di Astro bermula 1 Julai yang diumumkan pada Mei lalu tidak akan diteruskan.
Melalui inisiatif ini, pelanggan Astro akan terus mendapat akses kepada saluran TV1, TV2 dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka. Malah, lebih banyak saluran akan ditawarkan apabila Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian radio RTM mula disediakan di platform tersebut dalam masa terdekat.

Ini bermakna pengguna bukan sahaja dapat menonton berita nasional secara langsung tetapi mengikuti liputan sukan serta mendengar radio RTM terus melalui platform digital mereka.
Langkah ini juga membuktikan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan pengguna terus mendapat akses kepada kandungan awam yang berkualiti. Pada masa sama, kerjasama ini turut membantu menguatkan industri media tempatan supaya lebih stabil dan mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
Dalam kenyataan yang sama, kedua-dua pihak menyatakan bahawa landskap media massa masa kini memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berorientasikan masa hadapan. RTM dan Astro turut berkongsi matlamat untuk membina ekosistem media yang mesra pengguna serta mampu memberikan nilai terbaik kepada rakyat.





