
GEORGE TOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengkaji semula langkah keselamatan cerun dan menangani risiko pembangunan lereng bukit berhampiran kawasan kediaman susulan kejadian tanah runtuh di Paya Terubong yang meragut nyawa seorang doktor berusia 73 tahun.
Presidennya, Meena Raman, berkata kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai pemantauan cerun dan langkah pencegahan di kawasan berisiko tinggi, khususnya ketika kerja pemotongan bukit berskala besar sedang dijalankan bagi projek pembinaan jalan raya.
Beliau berkata, penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini telah memberi amaran bahawa kerja pembangunan berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar boleh mengancam keselamatan masyarakat setempat dan orang awam.
“Kerajaan negeri mesti menjelaskan bagaimana tragedi ini berlaku dan mengapa tanah runtuh itu tidak dapat dicegah. Keadaan kawasan berkenaan menunjukkan cerun terdedah tanpa perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Meena turut mempersoalkan sama ada pemeriksaan cerun dilakukan secara berkala dan langkah mitigasi mencukupi dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh.
Beliau menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab sekiranya kecuaian dikenal pasti, selain memastikan kawasan terjejas dipulihkan dan risiko kejadian berulang ditangani.
“Ambil tindakan sekarang sebelum lebih banyak kerosakan berlaku dan tindakan perlu dikenakan terhadap pihak yang didapati cuai,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Wong Kar Lin, ditemukan tertimbus di bahagian dapur rumahnya di Taman Seri Rambai.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa kira-kira jam 11.21 pagi.
Isterinya, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, yang berusia lingkungan 80-an, terselamat selepas berjaya menyelamatkan diri dari rumah berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian, termasuk kemungkinan kaitannya dengan projek pembangunan perumahan berhampiran.
Beliau berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pihak pemaju perlu melengkapkan penilaian masing-masing sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat.
“Pada peringkat ini, kita tidak boleh membuat sebarang kenyataan sama ada kejadian ini berpunca daripada projek perumahan di belakang kawasan kediaman ini atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, penilaian teknikal sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca tanah runtuh serta meneliti keadaan dan kestabilan cerun berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, berkata penduduk kira-kira 10 hingga 15 rumah berhampiran dinasihatkan supaya menjauhi bahagian belakang kediaman masing-masing berikutan risiko tanah runtuh susulan, terutama ketika hujan berterusan.
Bagaimanapun, penduduk belum diarahkan berpindah dan masih dibenarkan berada di bahagian hadapan rumah masing-masing sementara penilaian lanjut dijalankan.
Beliau berkata, pasukan teknikal MBPP dan wakil pemaju projek perumahan berhampiran turut diminta membantu pemeriksaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, arahan menghentikan kerja pembangunan boleh dipertimbangkan bergantung pada hasil penilaian dan keputusan pihak berkuasa tempatan. - Getaran, 25 Oktober 2026






