Samaiden raih kontrak RM100.75 juta bangunkan loji solar 27.6MWac di Kelantan

26/05/2025 - 14:19
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Mei - Samaiden Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB) memperoleh kontrak bernilai RM100.75 juta daripada GVU Fajar Timur Sdn Bhd bagi pembinaan loji solar berskala besar (LSS) 27.6MWac di Pasir Mas, Kelantan.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan skop penuh reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, ujian dan pentauliahan kemudahan solar fotovoltaik (PV).
Projek yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Disember 2024 di bawah program solar berskala besar (LSS5) merupakan satu lagi portfolio penting dalam pembangunan solar skala utiliti kumpulan.
"Projek itu dimulakan secara rasmi pada 26 Mei 2025 dengan kerja-kerja di tapak dijangka bermula sebaik sahaja semua syarat kontrak telah dipenuhi dan notis untuk meneruskan telah dikeluarkan oleh GVU. Kemudahan itu disasarkan untuk mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang 24 Julai 2027," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, pihaknya berbesar hati dianugerahkan projek itu oleh GVU sebagai sebahagian daripada inisiatif LSS5.
Katanya, kontrak itu inimenunjukkan keupayaan kumpulan untuk terus menyampaikan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui (RE) berimpak tinggi sambil menyumbang kepada cita-cita tenaga bersih Malaysia.
"Kepakaran teknikal kami, keupayaan pelaksanaan yang terbukti dan fokus pada kemampanan yang diutamakan terus meletakkan kami sebagai rakan kongsi di rantau ini.
"Anugerah ini mengukuhkan lagi kehadiran Samaiden dalam ruang infrastruktur solar Malaysia dan menekankan komitmennya untuk memacu peralihan negara ke arah masa depan tenaga rendah karbon," katanya. - DagangNews.com
standard

