
KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan Sabah memfailkan saman sivil lebih RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY) membuktikan kerajaan negeri itu bersikap terbuka dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan berkenaan juga membuktikan keseriusan kerajaan negeri memastikan pengurusan kewangan dan dana awam dilaksanakan secara telus serta berlandaskan tadbir urus yang baik.
“Saya fikir lebih elok jika kita menyerahkan perkara ini kepada proses mahkamah untuk menentukannya. Kerajaan negeri Sabah telah memfailkan saman tersebut, jadi kita tunggu proses mahkamah selanjutnya.
“Namun, apa yang pasti, tindakan ini secara simboliknya menunjukkan keterbukaan Sabah, iaitu tiada apa yang ingin disembunyikan.
“Jika ada pihak yang bersalah, kita saman. Bagi pihak SDB pula, kita telah menyaman semua penghutang tanpa mengira sesiapa pun,” katanya pada sidang media khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Menurut Masidi, kerajaan negeri serius memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dibuat dengan baik, selain mengutamakan ketelusan dalam pengurusan khazanah negeri.
“Kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dibuat bukan sahaja dengan baik, malah secara telus.
“Kita berharap langkah ini secara tidak langsung dapat mewujudkan budaya tata kelola (governance) yang lebih baik dalam mengurus khazanah serta kewangan negeri Sabah,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Sabah memfailkan saman sivil lebih RM2 bilion terhadap EY di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, dengan mendakwa firma audit itu gagal melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Tindakan undang-undang itu difailkan kerajaan Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala EY dinamakan sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan SDB. – UTUSAN
The post Saman EY bukti Sabah telus, tiada apa disembunyikan – Masidi appeared first on Utusan Malaysia.






