Sabah fail saman lebih RM2 bilion firma audit, pemiutang

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabah fail saman lebih RM2 bilion firma audit, pemiutang
Masidi ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Sabah memfailkan saman sivil bernilai lebih RM2 bilion terhadap sebuah firma berkaitan audit penyata kewangan bagi Sabah Development Bank (SDBank).

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu kini diserahkan kepada proses mahkamah untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan memfailkan saman tersebut dan kini menunggu proses perundangan berjalan.

"Saya ingat eloklah perkara ini kita serahkan kepada proses mahkamah untuk menentukan. Bagi Sabah, kita telah pun memfailkan (saman), jadi kita tunggu proses mahkamah seterusnya.

"Tetapi apa yang pasti, secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah, tiada yang disembunyikan. Kalau orang berhutang, kita saman, itu saja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Peringkat Negeri Tahun 2026, di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Khamis.

Masidi berkata, tindakan itu juga mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana Sabah dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.

Menurut beliau, SDB mengambil pendekatan tegas terhadap semua pihak yang mempunyai hutang dengan bank berkenaan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mereka.

"Bagi SDB, kita telah menyaman semua pemiutang tidak kira siapa. Jadi, kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri kita dibuat bukan saja dengan baik tetapi dengan telus.

"Kita harapkan ini dengan sendirinya akan mewujudkan budaya tadbir urus yang lebih baik dalam kita mengurus khazanah dan juga kewangan negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan semasa mengenai isu tuntutan 40 peratus hak Sabah, beliau memaklumkan, mesyuarat seterusnya akan diadakan pada 28 Ogos ini.

"Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Jumaat depan di Kota Kinabalu, yang mana Perdana Menteri dan juga pemimpin-pemimpin dijangka berada di sini.

"Jadi itu bagi sebagai sambungan ataupun menerima laporan jawatankuasa teknikal yang telahpun diadakan di Kuala Lumpur pada bulan lepas. Jadi statusnya setakat ini baik," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved