
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengadakan Sambutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 Peringkat Negeri pada hari ini bertempat di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sambutan ini mencerminkan usaha berterusan PTPTN menggalakkan masyarakat membudayakan amalan menabung sebagai persediaan awal bagi memastikan pendidikan dan masa depan anak-anak lebih terjamin.
Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang dan Pengurusan PTPTN. Selain Pulau Pinang, Sambutan BMS 2026 turut berlangsung serentak di 12 negeri lain seluruh negara di lokasi-lokasi terpilih.

Program BMS 2026 berlangsung dari 25 September hingga 1 November 2026 dan tahun ini merupakan tahun kesembilan penganjurannya sejak 2018. Sambutan peringkat negeri di Pulau Pinang pada tahun ini memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan maklumat berkaitan Simpan SSPN secara langsung, selain menyertai pelbagai aktiviti menarik dan menerima cenderahati istimewa sepanjang program berlangsung.
BMS edisi kali ini mengetengahkan tema “Di Bawah Lautan” (Under the Sea) menggambarkan perjalanan penuh impian dalam membina tabiat menabung dan merancang kewangan untuk pendidikan anak. Menerusi tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda”, ibu bapa digalakkan mengambil langkah awal dengan menjadikan amalan menabung sebagai persediaan menuju masa depan pendidikan yang lebih terjamin.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Happy Hour, Kaunter Promosi Simpan SSPN, Kaunter Saringan Kesihatan dan booth pameran agensi kerajaan dan swasta. Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan cenderahati yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN berkata, “BMS 2026 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi wadah untuk menyemarakkan budaya menabung sebagai persediaan awal pendidikan anak-anak. Melalui Simpan SSPN, PTPTN terus membantu ibu bapa merancang pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan berhemah. Saya berharap usaha ini akan terus menyemarakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat serta menyemai kesedaran bahawa setiap simpanan hari ini adalah langkah penting ke arah masa depan pendidikan yang lebih terjamin.”

Ketika Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri, turut diadakan penyampaian sijil Kelab Simpanan Pendidikan (KSP), penyampaian hadiah pemenang Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2, Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent dan penyampaian Anugerah Permata Inspirasi PTPTN.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan. Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2026.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung melalui Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin dengan sokongan semua pihak, visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara dapat direalisasikan. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2025, layari www.ptptn.gov.my/BMS2025





