liza06/10/2026 - 10:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Sebanyak 1.16 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai tunggakan bayaran berjumlah RM10.7 bilion setakat 31 Ogos 2026, kata Kementerian Pendidikan Tinggi.
Kementerian itu berkata, beberapa langkah sedang diambil bagi meningkatkan kutipan balik pinjaman, termasuk melalui tindakan penguatkuasaan terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran.
Selain itu, PTPTN turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat bagi meningkatkan keberkesanan kutipan bayaran balik pinjaman.
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), kementerian berkata terma dan syarat pinjaman PTPTN sedang disemak semula supaya kemudahan itu dapat disasarkan dengan lebih baik kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Langkah itu turut mengambil kira kemampuan PTPTN dalam menyediakan pembiayaan pendidikan tinggi kepada pelajar.
Jumlah tunggakan RM10.7 bilion setakat Ogos tahun ini bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding RM11.18 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Peminjam tidak mampu diberi ruang rundingan
Kementerian berkata, kerajaan pada masa sama mengambil kira keadaan peminjam yang benar-benar berdepan kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman.
Menurutnya, PTPTN sentiasa terbuka untuk membantu peminjam terbabit bagi membincangkan penyelesaian bayaran balik berdasarkan kemampuan masing-masing.
“PTPTN sentiasa terbuka dan mengalu-alukan peminjam ini untuk tampil berbincang bagi menyusun semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, atau menangguhkan bayaran dalam fleksibiliti yang dibenarkan PTPTN,” katanya.
PTPTN tidak lagi terima peruntukan khusus kerajaan
Dalam jawapan berasingan kepada Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), kementerian berkata PTPTN kini tidak lagi menerima peruntukan khusus daripada kerajaan bagi membiayai pinjaman pendidikan.
Sebaliknya, sumber utama pembiayaan PTPTN adalah daripada bayaran balik peminjam yang telah menamatkan pengajian.
Sekiranya kutipan bayaran balik tidak mencukupi, PTPTN akan menampung kekurangan itu melalui penerbitan sukuk atau pinjaman daripada institusi kewangan tempatan.
Kementerian berkata pembiayaan melalui sukuk atau pinjaman daripada institusi kewangan tempatan itu dibuat dengan jaminan kerajaan. - DagangNews.com






