Bersempena dengan acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan, Samsung baru sahaja memperkenalkan paparan skrin terbaru mereka yang menggunakan panel QD-OLED yang lazimnya diperlihatkan pada siri televisyen premium mereka untuk tujuan gaming dan produktiviti perkomputeran.
Panel Samsung QD-OLED ini hadir dengan ciri dual-mode yang mana paparan ini hadir dengan gabungan resolusi dan kadar segar semula 4K/360Hz dan juga Full HD/680Hz yang sangat sesuai untuk pelbagai jenis permainan komputer dan corak penggunaan yang berbeza.
Dari segi nilai kecerahan, paparan ini disahkan sebagai panel DisplayHDR True Black 600 yang mana olahan putih jitu dapat dicapai pada nilai kecerahan 600 nits, dan olahan hitam sebenar pada nilai kecerahan 0.0005 nits.

Paparan ini juga tampil dengan struktur piksel berbentuk huruf V yang menyusun subpiksel merah, hijau dan biru dalam corak jalur menegak yang membolehkan bahagian tepi teks dipaparkan secara lebih tajam. Ini adalah sebuah penyelesaian monitor optimum untuk pengguna yang sensitif terhadap kebolehbacaan teks, termasuk mereka yang bekerja pada dokumen, pengekodan, grafik dan penciptaan kandungan.
Dari segi saiz panel, paparan skrin ini hadir dengan saiz 31.5 inci secara menyerong, dan pihak Samsung nampaknya sedang dalam perbincangan dengan 10 pelanggan global mereka untuk mengimplimentasi panel ini dalam produk-produk mereka.
Ia dijangka bahawa paparan skrin dengan panel QD-OLED baharu ini akan diperkenalkan pada suku ketiga atau keempat pada tahun ini, dengan pelbagai jenama paparan skrin terkemuka menggunakannya sebagai asas paparan gaming ataupun produktiviti kelas premium kelak.
Sumber: Samsung Display




