
Samsung sedia menambah sejumlah ciri-ciri berasaskan kecerdasan buatan pada peranti mereka, dan melalui Galaxy S26 terbaru, mereka menambah lebih banyak ciri, termasuk integrasi Perplexity. Tidak setakat itu, pihak Samsung turut mengatakan mereka sedang meneroka lebih banyak ciri berasaskan AI untuk ditambah pada peranti mereka.

Salah satunya adalah untuk menggunakan sokongan sempoicara (vibe-coding) dalam menyesuaikan sejumlah antaramuka dan pengalaman pada telefon Galaxy masing-masing. Mengikut perancangan asal, ini termasuk untuk menyesuaikan aplikasi, dan sejumlah pengalaman berasaskan perisian pada telefon masing-masing.
Buat masa ini, ia tidak diketahui bilakah ciri seumpamanya akan diperkenalkan. Namun, dengan perkembangan arena AI, tidak mustahil ia diperkenalkan lebih awal berbanding perancangan sebelum ini yang mengambil masa bertahun lamanya.
Untuk makluman, pada hari ini, satu lagi syarikat yang memfokuskan ciri lebih kurang sama adalah Nothing, melalui projek yang dinamakan Essential Apps, membolehkan pengguna menghasilkan dan menjana sejumlah widget dan penambahan berasaskan penggunaan AI. Mungkin lebih banyak pengeluar peranti turut akan menambah ciri sama, dalam memberikan pengalaman eksklusif untuk setiap pengguna mereka.
