
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Boleh dikatakan setiap pekerja layak diwajibkan untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan perlindungan keselamatan sosial.
Mungkin ramai yang tidak tahu, pekerja yang telah mencarum boleh mendapatkan tuntutan manfaat PERKESO sekiranya mengalami kesakitan ataupun kemalangan.
Malah, PERKESO turut menyediakan manfaat dalam bentuk faedah kematian dan faedah pendidikan buat anak tanggungan pencarum.
Baca Artikel Berkaitan: Khas Buat Wanita, Ini Info Tentang Skim Suri Rumah PERKESO
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Boleh Tuntut Rawatan Percuma Di Klinik Panel PERKESO Jika Terlibat Dalam Kemalangan Ketika Bekerja
Baca Artikel Berkaitan: Masih Ada Tak Tahu, Golongan Bekerja Sendiri Hanya Perlu Bayar 20% Caruman PERKESO Menerusi SKSPS
Wanita Kongsi Pengalaman Tuntut Manfaat PERKESO Akibat Hilang Upaya Sementara
Baru-baru ini, seorang wanita menerusi Thread (@mikaylamajla) telah berkongsi pengalamannya dalam mendapatkan tuntutan manfaat PERKESO akibat hilang upaya sementara.
Katanya, dia mengalami kecederaan tersebut apabila terjatuh sewaktu menghantar anaknya ke sekolah sebelum ke tempat kerja yang terletak berdekatan.
Imbasan sinar X yang dilakukan di hospital mendapati masalah yang serius iaitu tulang tapak kakinya retak di tujuh bahagian serta tulang tertarik dari fibula (avulsed peroneal tendon).
Keadaan itu menyebabkan dia perlu segera menjalani pembedahan dan menerima cuti kemasukan ke hospital selama lebih kurang dua bulan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda dan tongkat dalam tempoh itu.
Layak Dapat Tuntutan PERKESO Walaupun Singgah Hantar Anak Ke Sekolah Dalam Perjalanan Ke Pejabat
Disebabkan oleh masalah hilang upaya sementara yang dialami olehnya, wanita itu telah mendapatkan pengesahan daripada PERKESO yang dia layak mendapat tuntutan manfaat.
“Walaupun dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah hantar anak ke sekolah pun, saya layak tuntut manfaat.
“Tapi sudah tentulah PERKESO hubungi saya untuk mengesahkan situasi yang berlaku. Dia tanya juga kenapa saya yang hantar, suami tak hantar ke,” jelasnya yang merupakan seorang ibu tunggal.
Menurut wanita itu, dia telah hadir ke pejabat PERKESO sendiri untuk menghantar dokumen yang diperlukan bagi tujuan tuntutan dan segala urusan berjalan dengan lancar.
Menjelaskan tentang tempoh masa yang diambil untuk menerima tuntutan tersebut, dia berkata dokumen dihantar pada 10 Jun.
Dia kemudiannya menerima panggilan dari PERKESO keesokan harinya bagi siasatan lanjut, sebelum menerima tuntutan manfaat itu pada 13 Jun. Segalanya selesai dalam tempoh empat hari sahaja.

Manfaat Hilang Upaya Sementara Boleh Dituntut Jika MC Lebih 4 Hari
Seusai menceritakan pengalamannya, wanita itu mengingatkan orang ramai bahawa mereka yang dimasukkan ke hospital akibat terlibat kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, balik rumah dari pejabat atau ketika bekerja, layak membuat tuntutan sedemikian.
“Ini memang hak kita. Itulah gunanya PERKESO untuk lindungi diri kita sebagai pekerja dari kecederaan dan masalah kesihatan,” dia menegaskan perkara itu.
Menerusi laman web PERKESO, mereka yang menerima cuti sakit (MC) bagi tempoh sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan boleh menuntut manfaat bagi hilang upaya sementara.
Sebagai info, kadar harian Faedah Hilang Upaya Sementara adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja, dengan kadar minimum RM30.00 dan maksimum RM158.67 sehari.
Senarai Dokumen Yang Diperlukan Bagi Tuntutan Manfaat PERKESO
Di samping itu, wanita terbabit turut menyenaraikan segala dokumen yang diperlukan bagi tujuan tuntutan manfaat tersebut seperti di bawah:
- Borang 34 (Muat turun DI SINI).
- Salinan kad pengenalan.
- Sijil Perubatan (MC) asli.
- Slip gaji enam bulan ke belakang dari waktu kemalangan berlaku.
- Kehadiran ke tempat kerja pada bulan kemalangan berlaku.
- Penyata bank tempatan.
- Laporan polis yang dilakukan di daerah kemalangan berlaku.
- Peta lakaran menunjukkan arah dari rumah ke tempat kerja.
Tambahnya lagi, terdapat bahagian pada Borang 34 PERKESO yang memerlukan tandatangan pihak sumber manusia syarikat.
Dia juga mengingatkan bahawa tuntutan bagi hilang upaya sementara perlu dilakukan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kemalangan. Tuntutan yang dibuat selepas tempoh itu tidak akan diterima.
PERKESO Sediakan Skim Bencana Pekerjaan & Skim Keilatan
Pencarum PERKESO harus tahu bahawa terdapat dua skim yang disediakan oleh pertubuhan berkenaan iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.
Bagi Skim Bencana Pekerjaan, pekerja akan menerima perlindungan bagi kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.
Faedah yang dirangkumi di bawah skim ini ialah:
- Faedah Perubatan
- Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS)
- Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)
- Elaun Layanan Sentiasa
- Kemudahan Pemulihan Jasmani/ Vokasional
- Faedah Orang Tanggungan (OT)
- Faedah Pengurusan Mayat
- Faedah Pendidikan (Untuk anak tanggungan)

Skim Keilatan pula memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Sebagai info, penghidap keilatan adalah seseorang yang mengalami suatu keuzuran berkekalan, yang tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh.
Dia juga tidak mampu mencari nafkah menerusi kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, iaitu sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal. Faedah Skim Keilatan termasuk:
- Pencen Ilat
- Bantuan Ilat
- Elaun Layanan Sentiasa
- Pencen Penakat
- Kemudahan Pemulihan Jasmani/ Vokasional/ Return To Work/ Dialisis
- Faedah Pengurusan Mayat
- Faedah Pendidikan (Untuk anak penerima Pencen Ilat/ Pencen Penakat)
Selain itu, terdapat juga Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang disediakan bagi menyediakan penggantian pendapatan kepada Orang Berinsurans (OB) yang kehilangan pekerjaan.
Faedah SIP layak diterima oleh Orang Berinsurans (OB) jika:
- Permohonan dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan.
- Memenuhi syarat kelayakan caruman seperti mempunyai bilangan caruman yang mencukupi.
- Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP.
Dapatkan info lanjut mengenai caruman ini di laman web PERKESO.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Christy Ng Belanja Lebih RM30,000 Restock Pantri Pejabat, Siap Ada Produk Penjagaan Diri Untuk Pekerja!
Baca Artikel Berkaitan: Ini 7 Hak Pekerja Yang Anda Perlu Ambil Tahu. Nombor 4 Paling Penting!
Baca Artikel Berkaitan: Staf HR Gigih Telefon & Tanya Doktor Tentang MC Pekerja Undang Pelbagai Reaksi

![Aksi Bersahaja Customer Bancuh Air Untuk Pelanggan Lain Di Gerai Roti Canai Buat Ramai Terhibur [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
