
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Korang pasti pernah dengar netizen-netizen terutamanya dari Malaysia yang menggelar Indonesia sebagai negara Konoha bukan? Bahkan ada rakyat di republik itu sendiri yang menggunakan istilah ‘negara Konoha’.
Kebiasaannya istilah ini digunakan apabila berlakunya perkara-perkara pelik atau unik melibatkan rakyat Indonesia. Persoalannya adakah gelaran Konohan itu dikira menghina atau ada sejarah disebalik kewujudannya.
Untuk info, Konoha atau nama penuhnya Konohagakure ialah sebuah kampung fiksyen dalam siri anime popular, Naruto Shippuden dan rakyat Indonesia menganggap Konoha sangat mirip dengan negara itu kerana banyak persamaan dari segi masyarakat, kepimpinan dan cara negara itu diuruskan.
Jumlah dan gaya kepimpinan yang sama
Dalam siri Naruto, Konoha telah dipimpin oleh tujuh orang Hokage (ketua kampung) dan apa yang menariknya, Indonesia juga telah mempunyai tujuh orang presiden.

Berikut antara perbandingan yang dibuat oleh netizen memetik Tempo:
• Soekarno (Presiden pertama) disamakan dengan Hashirama Senju (Hokage pertama) – Kedua-duanya pengasas negara dan berjiwa kepimpinan yang kuat.
• Soeharto (Presiden kedua) seperti Tobirama Senju yang membantu mengukuhkan negara selepas pengasas.
• B.J. Habibie (Presiden ketiga) pula disamakan dengan Hiruzen Sarutobi di mana kedua-duanya terkenal kerana kecerdasan luar biasa.
• Gus Dur atau K.H. Abdurrahman Wahid (Presiden keempat) yang dikaitkan dengan Minato Namikaze kerana sanggup melepaskan jawatan demi kestabilan negara.
• Megawati Soekarnoputri (Presiden kelima) yang juga anak Soekarno, disamakan dengan Tsunade, cucu Hashirama. Kedua-duanya juga pemimpin wanita pertama.
• Susilo Bambang Yudhoyono (Presiden keenam) disamakan dengan Kakashi Hatake di mana kedua-duanya berlatar belakang ketenteraan.
• Joko Widodo (Presiden ketujuh) pula mirip dengan Naruto Uzumaki, kerana membawa visi kedamaian dan menjaga perpaduan negara.
Dari musuh jadi kawan
Satu lagi persamaan di antara Indonesia dan anime terkenal itu ialah bagaimana pemimpin kedua-dua tempat boleh bekerjasama dengan bekas lawan demi keamanan.
Dalam dunia nyata, Jokowi melantik Prabowo Subianto yang kini Presiden kelapan Indonesia (dahulunya bekas pesaing politik) sebagai Menteri Pertahanan.
Di dalam anime itu pula, Naruto melantik Sasuke (bekas musuh) sebagai penjaga keamanan kampung.
Masyarakat yang majmuk
Pasti ramai yang mengetahui jika Indonesia terdiri daripada pelbagai suku dan budaya seperti Jawa, Batak, Minang, Bugis dan lain-lain.
Hal ini juga sama dengan Konoha yang mempunyai banyak klan ninja seperti Uchiha, Hyuga, Senju dan sebagainya.
Walaupun berbeza latar belakang, kesemua mereka bersatu untuk menjaga serta mempertahankan negara.
Kumpulan berpengaruh yang dibenci pemimpin
Dahulu, Indonesia pernah mempunyai kumpulan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang dilihat sebagai ancaman besar dan tidak disukai oleh Soeharto.

Perkara sama juga ada di dalam anime Naruto apabila klan Uchiha juga mempunyai kuasa besar dan sering dianggap sebagai ancaman oleh Tobirama Senju.
Kesamaan yang kebetulan ini jugalah menguatkan lagi untuk Indonesia digelar sebagai negara Kohona.
Jokowi ingin pimpin negara menjadi seperti Konoha dipimpin Naruto
Malah, pada tahun 2017 lalu, seorang pelajar pondok di Malang bernama Yadian menghantar video kepada Presiden Jokowi yang menerangkan tentang Konoga dan Hokage.
Jokowi kemudiannya membalas video itu dengan menyatakan beliau akan berusaha keras untuk menjadikan Indonesia negara seperti Konoha.
“Sekarang saya faham apa itu Hokage dan Konoha. Apakah saya mampu menjadi negara kita seperti Konoha dalam kepimpinan Naruto yang damai, alim dan disiplin? Insya-Allah dengan izin Allah dan kerja keras semua, pasti boleh,” katanya.
Masih relevan Indonesia digelar negara Konoha?
Secara kesimpulan, istilah ‘negara Konoha’ mungkin hanya gurauan di media sosial, tapi ia juga menggambarkan cinta rakyat Indonesia terhadap anime dan kreativiti mereka dalam melihat persamaan antara fiksyen dan realiti.
Mungkin gelaran Konoha itu sudah tidak sesuai digunakan lagi memandangkan Indonesia kini berada di bawah kepimpinan Prabowo Subianto yang mula mengambil alih jawatan Presiden pada 24 Oktober tahun lalu.


![Wanita Jumpa ‘Cicak Goreng’ Dalam Pisang Cheese Tiramisu Yang Dibeli Buat Ramai Loya Tekak [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)

