Tular Kenyataan ‘Dosa Yang Tidak Diampunkan Punca Anak Tidak Menjadi’, Ini Penjelasan Prof Muhaya

LocalFamily & Parenting
17 Jun 2025 • 4:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Siapa yang tidak kenal dengan pakar motivasi dan pakar lasik terkenal tanah air, Datuk Prof Dr Muhaya?

Kelembutan dan ketegasannya dalam memberi inspirasi dan motivasi sering mendapat perhatian ramai.

Namun sejak belakangan ini, nama Prof Muhaya menjadi bualan hangat selepas kenyataan ‘dosa yang tidak diampunkan punca anak tidak menjadi’ tular semula di beberapa platform di media sosial.

Kenyataan tersebut nyata mendapat perhatian hingga ada yang mengkritik pengasas IKONIK Eye Specialist & General Health Centre itu serta tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan.

Berlapang Dada Terima Teguran Netizen, Perjelas Maksud Sebenar Konteks Ayat Tersebut

Terbaharu, Prof Muhaya dalam satu kenyataan di akaun Instagram miliknya tampil memberi penjelasan berhubung isu yang hangat itu.

Jelas beliau, dia berlapang dada dan menerima secara terbuka kritikan dan pendapat orang ramai mengenai kenyataan yang diterbitkan dalam sebuah portal pada tahun 2019.

Malah, beliau yang membahasakan diri sebagai Bonda turut memberi penjelasan di sebalik maksud kenyataan yang menjadi topik hangat itu.

“Bonda menerima teguran dengan berlapang dada. Di sini Bonda ingin kupas sedikit berkenaan artikel tersebut yang mungkin telah disalah erti oleh sesetengah pihak.

“Bonda selalu share dalam ‘talk’ dan kelas-kelas Bonda, betapa pentingnya kita menjaga minda bawah sedar kita kerana ia membentuk tindakan dan emosi kita terutamanya buat anak-anak yang dibawah umur 7 tahun.

“Mereka seperti “sponge” yang menyerap apa sahaja di sekeliling mereka termasuk tingkahlaku dan kata-kata ibubapa,” katanya.

Konteks Sebenarnya Mahu Ibu Bapa Bertaubat Atas Dosa Lalu

Jelas Prof Muhaya yang merupakan Pakar Mata pertama di Asia Tenggara yang melakukan kaedah LASIK tanpa pisau system (Femtosecond Visumax), maksud sebenar di sebalik konteks kenyataan tersebut adalah beliau menyeru supaya ibu bapa bertaubat atas dosa yang lalu.

“Anak-anak menjadi cerminan kita. Konteks di dalam artikel tersebut, Bonda menyeru agar ibu bapa bertaubat kerana kita adalah insan yang berdosa dan tanpa sedar, kita mungkin menjadi contoh yang kurang baik kepada minda anak-anak sehingga membentuk jati diri mereka.

“Minda bawah sedar mempengaruhi 95% kehidupan kita. Sebagai ibu bapa, kita adalah insan yang paling dekat dgn anak-anak.

“Oleh itu, taubat mesti menjadi agenda utama kita dalam membesarkan anak-anak. Memang benar kita sebagai ibu bapa tidak dapat mengawal fikiran anak-anak.

“Sebagai orang Islam, kita yakin dan percaya, Allah yang akan melindungi dan menjaga fikiran anak-anak kita.

“Sebab itu, taubat mesti menjadi agenda utama untuk pembersihan jiwa kita terutamanya dalam kita mendidik jiwa fitrah anak-anak yang bersih dari dosa,” jelasnya lagi.

Mohon Orang Ramai Baca & Fahami Konteks Artikel

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai khususnya yang masih belum membaca artikel tersebut secara keseluruhan untuk memahami maksud sebenar mesej yang cuba disampaikan.

“Harapan Bonda, kepada semua yang telah membaca atau belum membaca artikel viral tersebut, Bonda harap kalian dapat membaca secara keseluruhan konteks tentang apa yang Bonda ingin sampaikan.

“Kita semua sedang belajar. Tiada siapa yang sempurna, tapi yang mulia ialah yang sudi memperbaiki kefahaman dengan kasih sayang,” katanya.

Source: