“Sangat kejam!”, puluhan bangkai anjing didakwa dibuang dalam tong sampah

20 Aug 2026 • 8:12 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

“Sangat kejam!”, puluhan bangkai anjing didakwa dibuang dalam tong sampah

KUALA LUMPUR – Puluhan bangkai anjing didakwa ditemui dalam sebuah tong sampah awam di Batu Pahat, Johor, sekali gus mencetuskan kemarahan pengguna media sosial.

Menerusi beberapa gambar yang tular, bangkai anjing berkenaan dilihat diletakkan di dalam plastik sampah berwarna hitam sebelum ditinggalkan di dalam tong sampah awam.

Seorang pengguna Facebook yang memuat naik gambar berkenaan dalam bahasa Mandarin mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 5 petang pada 17 Ogos lalu.

Turut kelihatan dalam perkongsian itu ialah sebuah lori yang didakwa milik pihak berkuasa tempatan berada di lokasi berkenaan.

Menurut pengguna terbabit, pihaknya tidak berniat menghalang operasi menangkap anjing jalanan, namun proses penangkapan, penempatan, kematian dan pelupusan bangkai haiwan berkenaan perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telus serta boleh dipantau.

“Kami bukan berniat untuk menghalang operasi menangkap anjing jalanan. Tetapi sekurang-kurangnya, keseluruhan proses penangkapan, penempatan, kematian, sehinggalah kepada pelupusan bangkai harus mempunyai prosedur operasi standard yang telus, munasabah dan boleh dipantau oleh orang awam,” katanya.

Beliau turut mendakwa sebelum ini dimaklumkan bahawa pelupusan bangkai anjing merupakan tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan terbuka berhubung perkara tersebut.

Hantaran berkenaan kemudian menerima pelbagai reaksi pengguna Facebook yang menggesa kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Lapor polis ambil tindakan, bukti sudah ada. Persatuan Pencinta Haiwan Malaysia, tolong buat aduan polis dengan cepat dan ambil tindakan,” komen seorang pengguna, Castle Queen.

Seorang lagi pengguna, Khairul Shahrizan pula berkata, perkara itu tidak sepatutnya didiamkan dan wajar dilaporkan kepada polis.

“Kes macam ni tak boleh main senyap. Boleh lapor polis dah ni,” katanya.

Sementara itu, Verner Pua menyifatkan kejadian tersebut sebagai kejam dan turut menggesa laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, dakwaan berhubung penemuan bangkai anjing serta penglibatan pihak berkuasa tempatan dalam kejadian berkenaan masih belum disahkan melalui kenyataan rasmi pihak berkuasa.

The post “Sangat kejam!”, puluhan bangkai anjing didakwa dibuang dalam tong sampah appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved