
SEPAKAT mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu lesen premis perjudian di negeri tersebut, yang dilihat sarat dengan bahasa yang kesat dan mempunyai maklumat yang mengelirukan menerusi taktik mengalih tumpuan daripada kegagalan pentadbiran beliau sendiri.
Kenyataan Sanusi yang menggunakan bahasa dan ungkapan yang kesat semasa program di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar baru-baru ini, adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan tatasusila seorang pemimpin negeri. Menteri Besar sepatutnya menjadi contoh dalam berhujah secara matang dan beradab, bukan menghambur kata-kata yang lebih menyerupai ceramah politik jalanan berbanding penjelasan dasar rasmi.
Sanusi juga cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan persekutuan meluluskan lesen judi baharu atau menambah bilangan premis perjudian di Kedah. Ini tidak benar. Menurut Kementerian Kewangan, tiada lesen baharu dikeluarkan dan jumlah lesen sedia ada kekal berdasarkan kelulusan sejak tahun 1990-an lagi. Sanusi sepatutnya berlaku jujur kepada rakyat Kedah, bukan menyebarkan naratif yang mengelirukan semata-mata untuk kepentingan politik.
Realitinya, tindakan kerajaan negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis judi telah dicabar di mahkamah dan kerajaan negeri kalah. Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan kebenaran merayu kerajaan Kedah. Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa dalam menentukan keputusan kehakiman; negara ini mengamalkan pemisahan kuasa yang jelas antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kekalahan mahkamah sendiri adalah tidak jujur dan memperbodohkan rakyat.
Turut membimbangkan, kemunafikan politik terserlah apabila sejarah menunjukkan bahawa semasa Pas berada dalam kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran ketika itu meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun sebaliknya kerajaan Madani yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun.
Oleh itu, kami selaku gerakan bebas di negeri ini menyeru Sanusi untuk memohon maaf atas penggunaan bahasa kesat yang tidak wajar bagi seorang Menteri Besar. Penggunaan bahasa kesat yang keterlaluan bukan cerminan akhlak dan tindak-tanduk kebiasaan anak negeri Kedah. Kedua, Sanusi perlu jujur menjelaskan kepada rakyat Kedah punca sebenar kekalahan pentadbirannya di mahkamah, bukan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain. Kami berharap Datuk Seri dapat menghentikan budaya politiking atas isu sensitif agama dan moral demi kepentingan politik peribadi.
Rakyat negeri Kedah berhak mendapat kepimpinan yang jujur, matang dan bertanggungjawab, bukan retorik kosong yang mengelirukan.
NOR MISWARY RAMLI
Pengerusi SEPAKAT
The post Sanusi perlu jawab isu dengan jujur, bukan kelirukan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.






