Sanusi usah alih tiang tol, isu premis judi salah sendiri

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 11:44 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sanusi usah alih tiang tol, isu premis judi salah sendiri

PETALING JAYA:  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak perlu menunding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kegagalan kerajaan negeri Kedah menutup premis perjudian.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Menteri Besar Kedah itu tidak perlu mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri. 

“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran. 

“Usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik. Realitinya, ketika Pas berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun. 

“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Isu lesen premis perjudian di Kedah kembali menjadi perhatian selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada pengendali premis terbabit, sekali gus membatalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen mereka. 

Hakikatnya, kata Tunku Nashrul, Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan.

“Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman,” katanya.-UTUSAN

The post Sanusi usah alih tiang tol, isu premis judi salah sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved