Sorento Capital buka bilik pameran bernilai RM2.5 juta di Johor

07/10/2025 - 14:25
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Okt – Penyedia kelengkapan bilik air dan dapur, Sorento Capital Bhd membuka bilik pameran dengan konsep baharu di Johor bagi menembus pasaran zon selatan negara serta menarik pelanggan dari Singapura.
Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai berkata, bilik pameran tersebut direka khusus untuk meningkatkan keterlihatan jenama serta keselesaan kepada pelanggannya.
“Kami menampilkan inovasi produk terkini, termasuk siri premium baharu “Sorento Serene” yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
“Bilik pameran Sorento Capital itu dibangunkan dengan kos RM2.5 juta dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2025.
“Kewujudannya kelak membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di Johor sambil meneroka potensi pasaran di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan pertumbuhan pesat dalam sektor hartanah dan infrastruktur di rantau ini, beliau berkata, Sorento berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap produk bilik air dan dapur berkualiti tinggi.
Beliau berkata, Sorento Capital kini giat memperkukuh keterlihatan jenama melalui proses naik taraf kedai pengedar, kempen pengiklanan serta pemasangan papan iklan berimpak tinggi.
“Semua inisiatif ini selaras dengan aspirasi syarikat untuk membina Sorento sebagai jenama tempatan yang dipercayai.
“Kami optimis prospek industri kelengkapan bilik air dan dapur di Malaysia kekal positif, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor kediaman, komersial dan hospitaliti,” katanya.
Syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak RM179.2 juta, meningkat 18.3% berbanding RM151.5 juta pada FY24, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada jualan pengedar dan jualan berasaskan projek.
Jualan pengedar kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 65.9% daripada jumlah hasil, melonjak 20.8% tahun ke tahun kepada RM118.1 juta daripada RM97.8 juta pada FY24.
Jualan berasaskan projek pula meningkat 12.2% kepada RM59.6 juta, menyumbang 33.3% daripada jumlah hasil manakala saluran dalam talian mencatat pertumbuhan lebih dua kali ganda kepada RM1.5 juta berbanding RM0.6 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com
standard


