GERIK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan enam peserta pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GGB) di kawasan Kem Kulim, di sini ditamatkan secara rasmi pada Selasa selepas kesemua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, operasi itu ditamatkan pada jam 11 pagi selepas kesemua mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan yang melibatkan 10 anggota.
Menurutnya, semua mangsa telah dibawa keluar ke Kampung Lelar oleh pasukan penyelamat sebelum tiba kira-kira jam 8.45 malam pada Isnin.
"Mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar, Gerik bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selepas menjalani pemeriksaan dan rawatan, semua mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pagi ini bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penggemar aktiviti pendakian dan rekreasi supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta membuat persediaan rapi sebelum memasuki kawasan hutan.
"Orang ramai juga diminta memaklumkan pergerakan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk pasukan malim gunung dan pasukan penyelamat atas kerjasama sepanjang operasi SAR berkenaan.
Terdahulu, operasi SAR mengesan kesemua mangsa digerakkan selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Keenam-enam individu itu dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GGB) pada 29 Ogos lalu.
Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9.





