
GERIK – “Kami tidak sesat pun sebenarnya dan tahu di mana kami berada.”
Itu penjelasan Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, yang sebelum ini dilaporkan hilang bersama isteri dan dua anaknya serta dua malim gunung selepas mereka didapati gagal keluar mengikut jadual daripada ekspedisi pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB).
Mengikut Wan Ahmad Aslam, kesemua mereka berada dalam keadaan baik sepanjang berada di dalam hutan dengan bekalan makanan juga mencukupi.
“Dalam hutan keadaan kami terkawal. Kami tahu di mana kami berada, kami tahu makanan kami dan kami tidak cedera. Jadi kami tidak sesat pun sebenarnya.
“Cuma kami risau keluarga di luar akan bimbang dan buat laporan polis. Kami cuba elakkan perkara itu kerana tak mahu timbul salah faham atau memburukkan komuniti hiking,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.
Menurutnya, kelewatan mereka berpunca daripada keadaan laluan yang jauh lebih sukar daripada jangkaan sehingga perjalanan yang sepatutnya mampu mencapai antara lapan hingga 10 kilometer sehari hanya sekitar dua hingga tiga kilometer sahaja.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa berbincang untuk menentukan sama ada perlu berpatah balik atau meneruskan perjalanan.
“Memandangkan perjalanan terlalu perlahan, kami berbincang sama ada perlu berpatah balik, teruskan perjalanan atau mencari punca air.
“Jadi, kami buat keputusan untuk cari punca air,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti pendakian mereka sekeluarga, Wan Ahmad Aslam berkata, minat membawa anak-anak mendaki bermula sebagai usaha mengurangkan penggunaan telefon dalam kalangan mereka.
“Daripada mereka terlalu leka dengan telefon, saya cari cara untuk elakkan mereka guna telefon terlalu lama.
“Saya cuba badminton dan berenang, tetapi itu hanya satu dua jam. Jadi saya cuba aktiviti mendaki, daripada setengah hari, kemudian empat, lima, enam hari dan sebelum ini paling lama lapan hari,” katanya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan kesemua mangsa digerakkan selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Keenam-enam individu itu dilaporkan memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lepas.
Selain Wan Ahmad Aslam, pendakian itu turut disertai isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, bersama dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami tidak sesat cuma perjalanan agak sukar’ appeared first on Kosmo Online.





