Laluan dipenuhi rotan, buluh punca enam pendaki lewat keluar

8 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Laluan dipenuhi rotan, buluh punca enam pendaki lewat keluar

GERIK – Laluan sukar dipenuhi rotan dan buluh dari Gunung Bieh ke Gunung Sepat menyebabkan enam pendaki termasuk empat sekeluarga yang mengikuti pendakian Gunung Tran Gerah (Trans GBB) mengambil masa lebih lama untuk keluar dari kawasan hutan.

Malim gunung, Shafiee Sidek, 49, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menebas rotan dan buluh yang menghalang perjalanan bagi membolehkan mereka melalui laluan berkenaan.

Katanya, keadaan trek yang sukar juga menyebabkan mereka terpaksa bermalam berhampiran puncak Gunung Sepat sebelum meneruskan perjalanan.

“Sebab utama kami lewat keluar adalah disebabkan halangan laluan daripada Gunung Bieh nak ke Gunung Sepat apabila rotan dan buluh menutup laluan.

“Ditambah pula dengan agas dan nyamuk, keadaan itu menyebabkan perjalanan menjadi lebih perlahan,” katanya ketika ditemui bersama rakannya, Hazman Mamat, 43, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Ahli Persatuan Malim Gunung Kelantan itu berkata, atas faktor laluan yang teruk, mereka terpaksa mengambil keputusan memotong laluan dari Gunung Sepat ke Kampung Orang Asli Pos Agih.

Katanya, walaupun laluan tersebut tidak pernah dilaluinya sebelum ini, pengalaman lebih 20 tahun sebagai malim gunung termasuk mengendalikan laluan ‘off-track’ membantu mereka menilai risiko dengan lebih baik.

“Jika berpatah balik, kami perlu mengambil masa sehingga tiga hari dua malam tanpa jaminan sumber air mencukupi.

“Jadi kita pilih untuk potong laluan sebab di kawasan caruk (anak sungai) ada sumber air. Itu lebih penting dan selamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas keadaan empat beranak yang menyertai pendakian itu, Shafiee berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan mampu mengikuti laluan sukar termasuk merentasi balak besar, kawasan curam berbatu dan lereng.

Menurutnya, mereka juga tidak berdepan sebarang pertembungan dengan hidupan liar walaupun menemui kesan kehadiran gajah, rusa, tapir dan seladang di kawasan berhampiran puncak

“Kami sebenarnya tidak menyedari bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan sehinggalah terdengar bunyi helikopter.

“Saya minta rakan nyalakan api bila dengar bunyi helikopter. Masa itu baru terfikir mungkin ada operasi mencari.

“Sebelum itu memang kami tidak tahu langsung dan hanya fokus untuk keluar dari laluan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Laluan dipenuhi rotan, buluh punca enam pendaki lewat keluar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved