KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Datuk Seri M Saravanan, 58, yang memakai kot berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
“Saya faham, mengaku tidak bersalah,” kata Timbalan Presiden MIC itu dengan tenang ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Ahli Parlimen Tapah itu didakwa menerima suapan masing-masing RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Allahyarham Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Daripada jumlah itu, RM597,000 diterima melalui sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada tertuduh, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kelab golf di Bukit Jalil, Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank di Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaludin dan P Rubini manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent, Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Azura membenarkan Saravanan yang juga Pengerusi Yayasan Seniman India diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
“Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.






