KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri M Saravanan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa tiada sebarang risiko menunjukkan bekas Menteri Sumber Manusia itu akan melarikan diri daripada menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta.
Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, anak guamnya merupakan ahli politik yang disegani serta menjadi Ahli Parlimen sejak 2008 selain mempunyai komitmen untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan tersebut.
Menurutnya, Timbalan Presiden MIC berusia 58 tahun itu sentiasa memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.
“Setakat ini, tidak wujud sebarang laporan anak guam kami mengganggu mangsa malah beliau tidak akan melarikan diri.
“Beliau juga memberi aku janji untuk hadir di mahkamah pada setiap tarikh sebutan dan bicara tanpa gagal,” katanya yang hadir bersama peguam, Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.
Beliau berkata, anak guamnya nekad mahu membersihkan nama malah Saravanan sendiri hadir ke mahkamah sekali gus membuktikan komitmennya untuk menghadapi pertuduhan.
Peguam ini memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah iaitu RM300,000 dengan seorang penjamin kerana kadar RM800,000 seperti dicadangkan pihak pendakwaan disifatkan keterlaluan.
Beliau tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan kepada anak guamnya, iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
BERITA BERKAITAN: Surat Saravanan: Anwar serah kepada SPRM, AGC
'Jangan guna taktik seperti ini jatuhkan ahli politik' – Saravanan
Rasuah RM1.097 juta: Saravanan cabar pertuduhan, dakwa tiada kaitan penama
Saravanan tiba di mahkamah disambut laungan penyokong
Pendakwaan Saravanan: Penyokong berkumpul, suasana tegang di pintu masuk mahkamah
Bagaimanapun peguam itu merayu mahkamah mengecualikan perintah berhubung serahan pasport.
“Beliau turut memegang jawatan Pengerusi Yayasan Seniman India sering menerima jemputan ke luar negara.
“Anak guam juga perlu mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa di sebuah hospital di Chennai, India,” katanya.
Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaludin dan P Rubini.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Hakim, Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM450,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
“Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi secara langsung atau tidak langsung,” katanya yang kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Ahli Parlimen Tapah itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan, menerima suapan masing-masing RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Allahyarham Syed Amirul Syed Ahmad.
Daripada jumlah itu, RM597,000 diterima melalui satu cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada tertuduh, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.





