Sarawak jadi hab timbang tara antarabangsa Borneo tahun depan - Azalina

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sarawak jadi hab timbang tara antarabangsa Borneo tahun depan - Azalina
Abang Johari (tengah) dan Azalina (dua, kanan) menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara kerajaan negeri Sarawak dan AIAC pada Isnin. Foto Bernama

KUCHING - Sarawak bakal menjadi hab serantau bagi timbang tara antarabangsa di Borneo menerusi penubuhan pejabat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan pejabat itu juga dijangka menyaksikan peningkatan aktiviti perniagaan dan perdagangan antarabangsa di Borneo.

"Selain itu, kemudahan itu juga akan membuka ruang kepada pengamal undang-undang di Sarawak dan Sabah untuk meneroka bidang timbang tara antarabangsa yang beroperasi mengikut piawaian antarabangsa... sebab Sarawak memang pesat dalam aspek aktiviti perniagaan dan perdagangan antarabangsa. 

"Penubuhan pejabat kedua itu dijangka meningkatkan aktiviti AIAC di Sarawak, selain memberi manfaat kepada komuniti perundangan, khususnya peguam di Sarawak dan Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pemeteraian perjanjian rasmi berhubung penubuhan pejabat AIAC Sarawak yang turut disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perjanjian rasmi itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Danesh Chandran.

Azalina berkata, selain meluluskan cadangan berkenaan, kerajaan negeri Sarawak turut memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf Bangunan Tekstil Kuching yang akan menempatkan kemudahan AIAC Sarawak itu.

Katanya, pembangunan AIAC Sarawak juga mencerminkan usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian pertikaian bertaraf antarabangsa. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved