Sarawak rancang wujudkan pusat kewangan global jadi hab pelaburan serantau - Abang Johari

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak rancang wujudkan pusat kewangan global jadi hab pelaburan serantau - Abang Johari Image from: Sarawak rancang wujudkan pusat kewangan global jadi hab pelaburan serantau - Abang Johari amree12/10/2026 - 15:20 ABANG Johari (depan empat dari kiri) menunjukkan dokumen Belanjawan Sarawak 2027 di Kuching. - Foto kredit Unit Komunikasi Awam Sarawak Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Sarawak merancang menubuhkan pusat kewangan global bagi menarik modal asing dan menjadi pintu masuk pelaburan serantau, menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

 

Cadangan pembentukan Sarawak Onshore International Financial Centre (SOIFC) itu akan dibangunkan berdasarkan kekuatan ekonomi khusus negeri itu, tanpa meniru model hab kewangan yang sedia ada.

 

Beliau berkata, pusat berkenaan berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi Sarawak, khususnya melalui tarikan modal asing serta pembangunan perkhidmatan kewangan secara khusus.

 

"Antara bidang tumpuan SOIFC termasuk aktiviti kewangan mampan dan hijau, pembiayaan infrastruktur, pengurusan pelaburan, kewangan Islam serta perkhidmatan kewangan digital," jelas Abang Johari.

 

Ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri, beliau menambah, kerajaan negeri akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menentukan kaedah pelaksanaan yang sesuai.

 

Kajian akan mengambil kira pengalaman hab kewangan antarabangsa seperti Singapura, Shanghai dan Dubai, selain melibatkan kerjasama rapat Kerajaan Persekutuan serta badan kawal selia berkaitan.

 

Sarawak_DagangNews2026

 

Dalam perkembangan lain, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

 

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober 2026 bahawa rundingan rasmi dengan Sarawak akan dimulakan bagi pembangunan zon itu.

 

"SEZ Sibu akan menumpukan sektor pembuatan bernilai tinggi, termasuk pemprosesan hiliran, logistik, agroindustri, dan ekonomi hijau bagi menarik pelaburan domestik serta antarabangsa," tambahnya.

 

Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi Persekutuan berkaitan bagi merealisasikan inisiatif itu sebagai model transformasi ekonominya.

 

Selain merancakkan pelaburan, SEZ Sibu dijangka meningkatkan hubungan antara Sibu, Bintulu, Mukah dan Kapit, sekali gus memperluas manfaat pembangunan di sepanjang koridor Sungai Rajang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved