Sarawak laksanakan levi karbon mulai 2026 - Abang Johari

LocalEnvironment
13 Jan 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak laksanakan levi karbon mulai 2026 - Abang Johari image is not available liza13/01/2026 - 17:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – Bermula tahun ini, Sarawak akan melaksanakan levi karbon sebagai langkah penting yang dibuat untuk menangani perubahan iklim dan memperkukuh usahanya ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata levi ini diperkenalkan melalui Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Gas Rumah Hijau) 2023 dan akan dikenakan ke atas fasiliti terkawal dalam sektor minyak, gas dan tenaga.

 

“Hasil daripada levi karbon akan dimasukkan ke dalam Dana Perubahan Iklim negeri bagi membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga, pemuliharaan hutan, pemodenan grid elektrik, serta program untuk meningkatkan daya tahan iklim,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Premier Sarawak 2026 bertemakan “9 Tahun Yang Gemilang” di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching hari ini.

 

Tambahnya, Sarawak terus memperkukuh institusi dan asas kewangannya bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan negeri lebih mampan. 

 

“Penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) disasarkan untuk menyediakan pembiayaan jangka panjang berorientasikan pembangunan, manakala Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak diwujudkan untuk menukar hasil sumber terhad kepada aset kewangan yang lestari untuk generasi akan datang.

 

“Selain itu, pengambilalihan pegangan majoriti negeri dalam Affin Bank memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sistem kewangan nasional, membolehkan integrasi yang lebih baik antara sektor kewangan dan rancangan pembangunan jangka panjang negeri,” katanya.

 

Menurut beliau, kesemua inisiatif ini telah mengangkat profil Sarawak, menjadikan negeri ini bukan sahaja ekonomi berasaskan sumber, tetapi juga diiktiraf sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam transformasi ekonomi serantau dan global.- DagangNews.com

Terkini standard