amree08/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — Ancile Tech Berhad memfailkan prospektus awalan bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan sebahagian dana tawaran awam permulaan (IPO) akan digunakan bagi membina pusat operasi rangkaian (NOC) dan pusat operasi keselamatan (SOC) sendiri.
Kemudahan tersebut ujarnya, bakal menyediakan perkhidmatan pemantauan rangkaian dan keselamatan siber sepanjang masa kepada pelanggan perusahaan, sekali gus membolehkan kumpulan berkenaan dapat memperkukuh penawaran perkhidmatan dalam bidang teknologi keselamatan siber.
Syarikat penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) perindustrian yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu turut merancang memperluas operasi melepasi kawasan utara Semenanjung Malaysia dengan membuka cawangan di Petaling Jaya, Selangor dan Johor Bahru, Johor.
"Dana IPO ini turut akan digunakan untuk menambah ramai tenaga kerja serta ruang pejabat di wilayah utara, selain membangunkan rumusan dan perkhidmatan baharu termasuk aspek kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi hijau," tambah Ancile Tech menerusi kenyataan.
Tambah kumpulan tersebut, sebahagian hasil dana juga akan diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian, namun jumlah bagi setiap tujuan masih belum ditentukan kerana harga IPO belum lagi ditetapkan.
Kumpulan berkenaan menyediakan perkhidmatan mereka bentuk, melaksanakan dan menggunakan rumusan IT perusahaan meliputi segala infrastruktur rangkaian, pelayan dan penyimpanan, keselamatan siber, infrastruktur awan serta pusat data (DC) yang berskala perusahaan.

Selain itu, Ancile Tech turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan, di samping membekalkan pelbagai perkakasan serta perisian IT kepada banyak syarikat multinasional, agensi kerajaan dan syarikat tempatan merentasi dalam pelbagai sektor.
"Segmen pembuatan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan dengan menyumbang kira-kira 72.48% daripada keseluruhan hasil bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25)," jelas kenyataan syarikat berkenaan lagi.
Di bawah cadangan IPO itu, ia akan menerbitkan 82.5 juta saham baharu, bersamaan 20% daripada modal saham diperbesarkan, selain menawarkan kira-kira 41.25 juta saham sedia ada untuk jualan, menjadikan jumlah keseluruhan tawaran sebanyak 123.75 juta saham.
Daripada saham baharu itu, sebanyak 20.63 juta saham atau 5% daripada modal diperbesarkan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 10.31 juta saham atau 2.5% diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada Ancile Tech.
Sementara itu, 41.25 juta saham sedia ada akan dijual oleh Pengarah Urusan dan pemegang saham utama Teoh Beng Hoe melalui penempatan persendirian, namun beliau masih mempunyai kepentingan sebanyak 70% termasuk pegangan 20% dalam Jencorp Capital Sdn Bhd.
"Kumpulan mencatat keuntungan bersih RM6.12 juta bagi FY25, meningkat 75.5%, manakala hasil naik sedikit kepada RM44.39 juta, Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan IPO," katanya. - DagangNews.com






