Saringan Belanjawan 2027 kini di peringkat akhir – Akmal

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 2:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saringan Belanjawan 2027 kini di peringkat akhir – Akmal

GEORGE TOWN – Kementerian Ekonomi kini dalam proses saringan peringkat akhir cadangan pembangunan Belanjawan 2027 sebelum diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, proses berkenaan dijangka selesai menjelang pertengahan bulan ini sebelum kementeriannya menyerahkan dapatan yang telah dirangka kepada kementerian berkenaan.

“Ketika ini, di peringkat Kementerian Ekonomi, kita telah sampai ke peringkat akhir proses saringan bajet sebelum kita menyerahkan dapatan yang dirangka untuk pembangunan tahun 2027 kepada MOF.

“Jangkaan saya, menjelang pertengahan bulan ini, segala proses di Kementerian Ekonomi akan selesai.

“Jadi, sebab itu, dalam kita merangka beberapa perkara, kita juga melihat kepada soal peruntukan baharu yang perlu kita perakukan, dan pada masa yang sama juga kita sentiasa meneliti projek-projek sambungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan peluncuran Projek Rintis Bakat STEM di Tech Dome Penang di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Akmal, perancangan pembangunan 2027 turut mengambil kira keupayaan kerajaan untuk melaksanakan agenda yang telah digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Sebahagiannya telah pun diluluskan dalam Rancangan Belanjawan (RB) 1 sebelum ini. Namun, bagi RB 2, sudah pasti terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat dari segi keperluan termasuk infrastruktur dan bagaimana pembangunan kerajaan dapat meningkatkan atau mempercepatkan usaha ke arah industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan bersedia memperuntukkan RM12.3 juta bagi tempoh empat tahun untuk menjayakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Pulau Pinang.

Jelasnya, program berkenaan bermula menerusi pelan induk yang diketengahkan pada 2024 sebelum sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak industri membawa kepada pindaan peruntukan bagi membolehkan pelaksanaannya dimulakan tahun ini.

“Hasratnya adalah untuk memastikan Pulau Pinang membuat persiapan bagi memenuhi keperluan industri, selain memberi peluang kepada anak-anak Pulau Pinang dan anak-anak tempatan mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

“Pada peringkat negara pula, kita melihat pendekatan ekosistem secara menyeluruh bagi meningkatkan minat terhadap STEM ini boleh dijadikan projek rintis di Pulau Pinang dan berdasarkan kejayaannya nanti, ia boleh diketengahkan di negeri-negeri lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Saringan Belanjawan 2027 kini di peringkat akhir – Akmal appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved