
GEORGE TOWN: Kementerian Ekonomi dijangka memuktamadkan cadangan pembangunan untuk Belanjawan 2027 bagi kementerian itu menjelang pertengahan bulan ini.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ketika ini, saringan akhir sedang dilakukan sebelum cadangan tersebut diserahkan kepada Kementerian Kewangan.
“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kami sebenarnya telah sampai ke peringkat penghujung iaitu budget screening (saringan belanjawan) sebelum kami serahkan dapatan yang dirangka untuk pembangunan tahun 2027 itu kepada MOF (Kementerian Kewangan).
“Jadi, jangkaan saya, menjelang pertengahan bulan ini (Ogos), segala proses itu akan selesailah. Sebab itu, dalam kami merangka beberapa perkara ini, kami juga melihat kepada soal peruntukan baharu yang perlu kita perakukan dan pada masa yang sama juga, kita sentiasa meneliti projek-projek sambungan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turut-serta dalam Projek Rintis Bakat STEM yang disempurnakan peluncurannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, perancangan pembangunan 2027 turut mengambil kira keupayaan kerajaan untuk melaksanakan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) seperti dibentangkan sebelum ini.
Katanya, dalam hal ini, tumpuan turut diberi terhadap usaha memperkukuh infrastruktur dan kemudahan serta mempercepatkan pembangunan industri pertumbuhan bernilai tinggi dan sebagainya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan menerusi kementeriannya bersedia memperuntukkan sebanyak RM12.3 juta untuk menjayakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Pulau Pinang bagi tempoh empat tahun.
“Hasrat kita adalah untuk melihat Pulau Pinang membuat persiapan bagi memenuhi keperluan industri, selain memastikan anak-anak negeri (Pulau Pinang) serta anak-anak tempatan mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.
“Di peringkat negara pula, kita cuba melihat pendekatan melalui ekosistem secara menyeluruh bagi meningkatkan minat terhadap STEM ini. Oleh itu, jika projek rintis di Pulau Pinang ini berjaya, maka, ia boleh diketengahkan ke negeri-negeri lain pula,” katanya.-UTUSAN.
The post Cadangan pembangunan Belanjawan 2027 dimuktamadkan bulan ini appeared first on Utusan Malaysia.






