
MUAR - Satu saringan kesihatan yang dijalankan di sebuah sekolah baru-baru ini berjaya membongkar perilaku durjana seorang lelaki, yang tergamak merogol anaknya sendiri.
Tertuduh berusia 49 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas dua pertuduhan rogol.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 13 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Tangkak dalam dua kejadian berasingan antara jam 8 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 9 malam hingga 10 malam, masing-masing pada 2024 dan Januari tahun ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh turut memohon untuk dibebaskan dengan jaminan, namun permohonan itu dibantah pihak pendakwaan atas alasan lelaki berkenaan masih mempunyai hubungan dengan mangsa yang didakwa.
Pihak pendakwaan turut membangkitkan kebimbangan tertuduh mungkin melarikan diri, selain menegaskan, aspek keselamatan mangsa perlu diberikan keutamaan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menolak permohonan jaminan tertuduh dan menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes, termasuk bagi penyerahan dokumen serta urusan pelantikan peguam.
Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa perbuatan itu bermula kira-kira dua tahun lalu ketika dia baru berusia 11 tahun.
Bagaimanapun, dakwaan penderaan tersebut hanya terbongkar baru-baru ini selepas saringan kesihatan yang dijalankan di sekolah mangsa berjaya mengesan perkara berkenaan. - Getaran, 27 Ogos 2026






