Sasar 60,000 peserta sertai Malaysia #QuranHour di Selangor

24 Aug 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sasar 60,000 peserta sertai Malaysia #QuranHour di Selangor
Sebahagian peserta yang menyertai World QuranHour di SACC Mall.

SHAH ALAM - Seramai 60,000 peserta di Selangor dijangka menyertai Malaysia #QuranHour ke-12 bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 30 Ogos ini sekali gus mendekatkan masyarakat terutama generasi muda dengan al-Quran.

Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Nor Khairul Nizam M Sadon berkata, pihaknya sudah menguar-uarkan program itu kepada semua jabatan dan agensi di seluruh Selangor.

Menurutnya, PPAS turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memperluaskan pelaksanaan program itu ke sekolah di seluruh negeri.

"Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga akan melaksanakan program ini di seluruh sekolah negeri Selangor termasuk sekolah agama, sekolah harian dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Nor Khairul Nizam berkata, pihaknya turut memaklumkan program berkenaan kepada Majlis Pengarah-Pengarah itu Awam Malaysia bagi membolehkan perpustakaan awam di negeri lain turut mengambil bahagian.

"Di perpustakaan negeri lain, mereka akan mengikuti program ini secara dalam talian dan melaksanakannya di negeri masing-masing.

"Di PPAS sendiri, kita mempunyai 104 perpustakaan yang akan turut serta," jelas beliau.

Menurutnya, program #QuranHour akan berlangsung selama sejam bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Katanya, Selangor sentiasa memberikan komitmen terhadap program berteraskan al-Quran dan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan.

"PPAS bukan sekadar komited dalam Malaysia, malah mahu al-Quran jadikan panduan dan amalan.

"Setiap Jumaat, kita juga mengadakan bacaan surah sebagai panduan sebelum memulakan kerja," katanya.

Dalam pada itu, Nor Khairul Nizam berkata, pihaknya berharap program itu tidak berakhir sekadar aktiviti membaca al-Quran, sebaliknya mesej dan pengajaran daripada kitab suci itu difahami serta diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Kita tidak boleh leka dan mahu memastikan anak-anak kita dekat dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi memahami kandungannya.

"Kita berharap mesej yang disampaikan dapat disebarluaskan dan secara tidak langsung membawa kepada perubahan tingkah laku masyarakat selepas program ini berlangsung," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved