
SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor mula membangunkan pakar dalam bidang nuklear sebagai persediaan meneroka sektor berkenaan, khususnya penghasilan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dimulakan menerusi penghantaran tiga anak Selangor bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Nuklear di Harbin Engineering University, China, mulai September ini hingga 2029.
Menurutnya, program itu adalah sebahagian inisiatif baharu yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Selangor tahun lalu dengan kumpulan kedua dijangka melibatkan 22 peserta pada tahun depan manakala lebih 100 individu telah mendaftar untuk menyertainya setakat ini.
“Untuk sektor nuklear, khususnya penghasilan tenaga, kita sasar dalam tempoh lima tahun akan datang kita akan mula dengan sektor itu dan hari ini kita mula dengan sektor sumber manusia.
“Tiga individu yang kita hantar ini mempunyai latar belakang kerjaya dan pendidikan yang kukuh. Kita juga beruntung kerana mendapat tajaan daripada pihak China untuk mereka melanjutkan pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi perjumpaan bersama penerima tajaan Program Latihan Tenaga Nuklear di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.
Tiga penerima berkenaan adalah Muhammad Amani Mazlan, 29; Aiman Syakirah Ahmad Jaffar, 24 dan Hafiz Syahmi Faznee Aniff, 25, menerima tajaan pengajian sepenuhnya daripada kerajaan China, manakala Kerajaan Negeri menanggung kos sara hidup dan penerbangan pulang.
Katanya, peserta turut digalak mendapatkan pengalaman bekerja atau latihan industri bersama syarikat nuklear di China kerana Selangor masih belum mempunyai kepakaran domestik atau syarikat yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.
“Kita harap kita mempunyai mereka yang fokus dan pakar dalam bidang itu dan mereka juga dapat memahami ekosistem industri itu,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman berkenaan penting bagi melahirkan tenaga pakar yang bukan sahaja mempunyai kepakaran akademik, malah memahami keseluruhan ekosistem industri nuklear, sebelum kembali menyumbang kepada Selangor.
Jelasnya, Selangor dalam masa sama sedang melihat keperluan mewujudkan agensi atau institusi khusus bagi meneroka bidang nuklear, selain memanfaatkan peranan Worldwide Holdings Berhad yang sudah mempunyai hala tuju berkaitan di peringkat negeri.
“Kita tidak mahu mereka pulang tanpa ada persediaan di peringkat kita. Jadi dalam tempoh tiga hingga empat tahun sementara mereka menghabiskan pengajian, kita lihat juga kesediaan kita.
“Saya letakkan sasaran, kita tidak mahu tergesa-gesa. Selepas lima tahun barulah kita mula inisiatif itu,” katanya.
Tambah Amirudin, pendekatan berperingkat itu membolehkan Selangor memastikan pembangunan sumber manusia dan kesiapsiagaan industri berada pada tahap sewajarnya sebelum meneroka sektor nuklear secara lebih serius.






