Sukma 2026: Hareez lengkap hatrik emas

23 Aug 2026 • 4:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Hareez lengkap hatrik emas

NILAI – Pelumba muda Selangor, Hareez Naufal Syanizam melengkapkan pencapaian cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 apabila meraih pingat emas ketiganya selepas mengungguli acara scratch lelaki di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu melakukan percaturan tepat apabila menyertai kelompok kecil yang melakukan pemisahan daripada kelompok utama sekitar pertengahan perlumbaan sebelum terus bertahan sehingga ke penghujung saingan.

Hareez kemudian mempamerkan kayuhan bertenaga pada penamat untuk menewaskan wakil Negeri Sembilan, Haikal Fareez Rosli yang meraih perak, manakala Afif Darwysh Mohamad Nazir dari Sarawak membawa pulang gangsa.

“Saya sudah lama berlatih untuk perlumbaan ini, tetapi apabila bangun pagi tadi, langsung tidak terlintas dalam fikiran bahawa saya akan memenangi pingat emas.

“Ramai pelumba kuat dalam perlumbaan ini dan saya tahu ia sangat sukar untuk menang. Perancangan saya hanyalah untuk kekal bersama peloton dan mengambil peluang sekiranya ada.

“Saya hanya fokus kepada kayuhan sendiri dan apabila berjaya melakukan pemisahan, saya memberikan 100 peratus sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Emas acara scratch itu melengkapkan hatrik kejuaraan Hareez pada temasya kali ini selepas dia sebelum ini membantu skuad berbasikal jalan raya Selangor memenangi acara ujian masa berpasukan lelaki dan perlumbaan jalan raya lelaki.

Di sebalik kejayaan tersebut, Hareez bakal kembali memberikan tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun tidak menolak kemungkinan menyertai Kejohanan Kebangsaan jalan raya hujung tahun ini.

“Saya akan menduduki SPM tahun ini, jadi saya perlu memberikan tumpuan kepadanya, tetapi mungkin masih akan menyertai Kejohanan Kebangsaan hujung tahun ini,” katanya. KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Hareez lengkap hatrik emas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved