JF Apex positif prospek Oasis Home selepas bilik penstriman ditambah kepada 20

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 11:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JF Apex positif prospek Oasis Home selepas bilik penstriman ditambah kepada 20 Image from: JF Apex positif prospek Oasis Home selepas bilik penstriman ditambah kepada 20 liza21/09/2026 - 11:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept – Oasis Home Holding Berhad (OHM) bakal meningkatkan kapasiti jualan secara langsung menerusi ibu pejabat baharunya yang akan menambah jumlah bilik penstriman kepada 20 bilik berbanding lapan yang dimiliki ketika ini.

 

JF Apex Research berkata, perkembangan itu dilihat menyokong usaha OHM membina platform jualan yang lebih bersepadu merangkumi perdagangan digital, perdagangan melalui sekutu (affiliate) dan pengedaran secara fizikal.

 

Menurut firma penyelidikan itu, lawatan tapak pada 18 September 2026 memberi gambaran lanjut mengenai operasi, inisiatif pertumbuhan dan rancangan pengembangan OHM.

 

“Secara keseluruhan, kami kekal positif terhadap prospek jangka sederhana OHM susulan usaha kumpulan itu memperluas keupayaan perdagangan digital, rangkaian sekutu dan saluran pengedaran fizikal.

 

Kapasiti Jualan Langsung Bertambah

“Ibu pejabat baharu OHM telah siap dan kini menunggu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), yang dijangka diperoleh menjelang akhir September 2026.

 

“Peningkatan bilik penstriman langsung itu akan menempatkan lebih ramai hos jualan secara langsung, khususnya bagi saluran TikTok,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Pihak pengurusan juga merancang menambah jumlah hos secara berperingkat apabila lebih banyak jenama menyertai platform tersebut, sekali gus memberi ruang kepada OHM memperluas aktiviti jualan langsung dan jumlah produk yang ditawarkan.

 

Selain itu, OHM telah memperkenalkan sistem pesanan terus dalaman menerusi Facebook yang membolehkan pelanggan membuat pesanan ketika sesi jualan langsung dengan memasukkan kata kunci tertentu sebelum pautan pembayaran dihantar secara automatik melalui Messenger.

 

Sistem berkenaan turut membolehkan OHM melihat secara masa nyata maklumat pesanan termasuk pembeli, nilai tempahan, status pembayaran dan penghantaran, selain menyediakan peringatan pembayaran secara automatik.

 

Pemilikan Data Pelanggan Jadi Kelebihan

JF Apex Research berkata, sebelum ini OHM menggunakan sistem pesanan pihak ketiga dengan sebahagian besar pangkalan data pelanggan dipegang penyedia luar.

 

Dengan membangunkan sistem sendiri, OHM kini mempunyai pemilikan lebih besar terhadap data pelanggan dan kawalan ke atas keseluruhan proses pesanan.

 

Menurut firma itu, langkah berkenaan boleh membantu OHM memahami corak pembelian pelanggan dengan lebih baik serta menyokong usaha pemasaran dan penglibatan pelanggan yang lebih bersasar apabila perniagaan jualan langsung dan rangkaian sekutunya berkembang.

 

“OHM turut menjalankan kempen cabutan bertuah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan penglibatan pelanggan dengan pelanggan menerima satu tiket bagi setiap perbelanjaan RM488.

 

“Kempen seterusnya berlangsung dari 19 September hingga 24 Disember 2026 dengan Jetour T1 sebagai hadiah utama dan kami melihat kempen tersebut sebagai salah satu kaedah untuk menggalakkan pembelian berulang dan meningkatkan nilai pembelian pelanggan,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Produk Dan Saluran Jualan Terus Diperluas

Selain perniagaan teras dalam produk kesihatan dan penjagaan kulit, OHM turut memperluas penawaran kepada produk gaya hidup, rumah dan kediaman serta penjagaan haiwan peliharaan.

 

JF Apex Research berkata, antara produk dalam kategori rumah dan kediaman ialah Glasslock, yang menurut firma itu telah menerima pengiktirafan TikTok Shop sebagai “Top Rising Lifestyle Seller” ketika kempen jualan hujung tahun 12.12 pada Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut menunjukkan keupayaan OHM menggunakan saluran perdagangan digital untuk menjual produk dalam kategori pengguna yang lebih luas.

 

Pada masa sama, OHM terus meningkatkan penembusan dalam pasaran pengguna Melayu dan memperluas rangkaian farmasinya, selain mengembangkan rangkaian affiliate yang boleh membantu mendapatkan pelanggan baharu serta meningkatkan kekerapan pembelian.

 

JF Apex Research mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras OHM bagi FY2027, FY2028 dan FY2029 masing-masing pada RM16.8 juta, RM22.6 juta dan RM33.4 juta.

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘Beli’ bagi OHM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.64, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 16.3 kali ke atas purata wajaran pendapatan sesaham (EPS) teras FY2027/FY2028 sebanyak 3.9 sen.

 

Bagaimanapun, JF Apex Research berkata, antara risiko utama ialah pertumbuhan lebih perlahan daripada jangkaan dalam saluran pasaran dalam talian, perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan farmasi, selain perbelanjaan pengguna yang lebih lemah serta risiko pelaksanaan dalam mengembangkan jualan langsung, rangkaian sekutu dan produk serta pasaran baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved