sarah24/11/2026 - 12:40 Gambar hiasan. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Lebih satu daripada empat rumah yang dijual di Kuala Lumpur pada suku ketiga 2026 berharga melebihi RM1 juta, mencerminkan permintaan yang semakin kukuh terhadap kediaman bernilai tinggi di ibu negara, menurut analisis kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI.
Transaksi kediaman dalam kategori harga tersebut melonjak 40.7% tahun ke tahun kepada 1,124 unit, menyumbang 26% daripada keseluruhan 4,323 transaksi kediaman di Kuala Lumpur dalam tempoh berkenaan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, segmen kediaman mewah mengatasi hampir semua kategori harga lain, manakala transaksi rumah berharga antara RM900,001 hingga RM1 juta turut melonjak 48.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Berdasarkan analisis data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), keseluruhan transaksi kediaman di Kuala Lumpur meningkat 14.1% tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, manakala nilai transaksi melonjak 31.8% kepada RM4.55 bilion.
Pembeli tempatan berkemampuan tinggi pacu permintaan
Kashif berkata, prestasi ekonomi negara yang kukuh, kestabilan kadar faedah dan nilai ringgit merupakan antara faktor yang berkemungkinan mendorong peningkatan permintaan terhadap kediaman mewah.
“Pembeli tempatan berkemampuan tinggi semakin optimistik terhadap masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembeli asing turut menyumbang kepada pertumbuhan segmen berkenaan, meskipun tertakluk kepada harga pembelian minimum RM1 juta bagi kediaman di Kuala Lumpur serta duti setem sebanyak 8%.
Menurutnya, pembeli asing cenderung memilih kediaman bertingkat tinggi di kawasan tumpuan seperti Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC), Mont Kiara dan Bukit Bintang, sekali gus menyokong permintaan terhadap hartanah mewah.
Purata harga rumah Kuala Lumpur cecah RM830,008
Pusat bandar Kuala Lumpur mencatatkan pertumbuhan transaksi kediaman tertinggi pada suku ketiga 2026, melonjak 84% tahun ke tahun kepada 826 unit, berbanding peningkatan hanya 5% di kawasan lain di ibu negara.
Indeks Harga Rumah di Kuala Lumpur pula meningkat 1.1% tahun ke tahun, lebih dua kali ganda kadar pertumbuhan di peringkat nasional sebanyak 0.5%.
Kediaman bertingkat tinggi dan rumah teres menerajui kenaikan harga rumah di ibu negara, masing-masing mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 1.2% dan 1.5%.
Purata harga rumah di Kuala Lumpur kini mencecah RM830,008, iaitu 63% lebih tinggi berbanding purata nasional sebanyak RM507,809.- DagangNews.com





