sarah20/11/2026 - 14:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Geohan Corporation Bhd memperoleh empat kontrak baharu bernilai keseluruhan RM119.9 juta daripada anak syarikat tiga pemaju hartanah utama, iaitu UEM Sunrise, Paramount dan Mah Sing, sekali gus meningkatkan jumlah kontrak yang diperoleh sepanjang tahun ini kepada RM399 juta.
Kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Geohan Sdn Bhd, melibatkan kerja pembinaan asas bangunan, pemasangan cerucuk dan struktur bawah tanah bagi beberapa projek pembangunan kediaman serta pembangunan bercampur.
Menurut Geohan dalam kenyataan hari ini, kontrak pertama diberikan oleh anak syarikat UEM Sunrise Group bagi kerja cerucuk dan struktur bawah tanah sebuah projek pembangunan bercampur, manakala kontrak kedua daripada anak syarikat Paramount Group melibatkan kerja cerucuk serta pembinaan tapak asas di projek pangsapuri perkhidmatan The Ashbourne.
Dua lagi kontrak diperoleh daripada anak syarikat Mah Sing Group bagi kerja pembinaan asas di projek M Amaya serta kerja pembersihan tapak, tanah, cerucuk dan struktur bawah tanah di projek M Mira.
Buku tempahan RM467.9 juta sokong pendapatan hingga 2028
Geohan berkata, kontrak baharu itu meningkatkan nilai keseluruhan kontrak yang diperoleh sejak awal tahun kepada RM399 juta, manakala baki buku tempahannya kini berjumlah RM467.9 juta selepas mengambil kira hasil yang telah diiktiraf daripada projek sedang dilaksanakan.
Menurut syarikat itu, buku tempahan berkenaan merangkumi projek infrastruktur, kediaman dan pembangunan bercampur di seluruh Malaysia, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas terhadap potensi pendapatan kumpulan sehingga 2028.
Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, pencapaian kontrak baharu itu menunjukkan usaha kumpulan menambah buku tempahan berada pada landasan yang dirancang, di samping mengukuhkan asas pendapatan bagi tahun-tahun akan datang.
Hasil suku ketiga meningkat 19.6%
Bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, Geohan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 19.6% kepada RM109 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan 24.6% dalam bahagian perkhidmatan asas bangunan dan kejuruteraan tanah kepada RM106.3 juta, yang menyumbang 97.5% daripada keseluruhan hasil kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai bagi suku berkenaan berjumlah RM1.5 juta, manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil meningkat 27.1% kepada RM334.4 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2 juta.
Kim Seng berkata, walaupun persekitaran ekonomi masih mencabar, Geohan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan pelaksanaan projek mengikut komitmen, selain memperkukuh daya tahan perniagaan bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu. - DagangNews.com





