KJTS sasar lebih banyak kontrak pusat data selepas peroleh RM116 juta daripada Gamuda

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 8:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KJTS sasar lebih banyak kontrak pusat data selepas peroleh RM116 juta daripada Gamuda Image from: KJTS sasar lebih banyak kontrak pusat data selepas peroleh RM116 juta daripada Gamuda sarah24/11/2026 - 08:57 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - KJTS Group Berhad (KJTS) berharap dapat memperoleh lebih banyak kontrak pusat data susulan kejayaannya mendapatkan dua subkontrak bernilai keseluruhan RM116 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd dalam tempoh empat hari.

 

Pakar perkhidmatan kejuruteraan itu pada 23 November 2026 memperoleh subkontrak tambahan bernilai RM68 juta bagi melaksanakan kerja mekanikal di sebuah lagi pusat data berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Kontrak terbaharu itu menyusuli subkontrak bernilai RM48 juta yang diumumkan pada 19 November lalu, sekali gus memperkukuh kedudukan KJTS dalam sektor infrastruktur pusat data negara.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KJTS, KC Lee berkata, pemberian kontrak tambahan itu mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan kumpulan, yang berharap mutu kerja pelaksanaan projek tersebut akan membuka peluang untuk memperoleh lebih banyak kontrak dalam masa terdekat.

 

Kumpulan juga berhasrat memperkukuh hubungan dengan pelanggannya menerusi peningkatan kecekapan dan kebolehpercayaan operasi sepanjang hayat kemudahan berkenaan.

 

Projek pusat data kedua di Port Dickson

Menerusi perjanjian terbaharu itu, anak syarikat milik penuh KJTS, KJ Technical Services Sdn Bhd akan melaksanakan kerja mekanikal bagi pusat data berskala besar untuk sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS).

 

Skop kontrak merangkumi kerja kejuruteraan, perolehan, pembuatan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan dan servis sistem.

 

Pelaksanaan projek itu dibahagikan kepada dua fasa, dengan sebahagian besar kerja bagi fasa pertama dijadualkan siap pada 22 April 2028, manakala fasa kedua pada 22 Julai 2028.

 

Sumbangan positif kepada pendapatan KJTS

Kontrak tambahan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih KJTS sepanjang tempoh perjanjian, sekiranya tiada keadaan luar jangka.

 

KJTS kini mempunyai operasi di Malaysia, Singapura dan Thailand dengan menawarkan perkhidmatan pengurusan tenaga, pengurusan fasiliti dan pembersihan komersial, termasuk kepakaran dalam pembangunan, pengoperasian serta penyelenggaraan sistem penyejukan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved