“Saya Bukan Ajar Orang Bercerai” – Coach Cerai Sebenarnya Bantu Selamatkan Rumah Tangga

30 Oct 2025 • 7:54 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Baru-baru ini, seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Coach Cerai’ menjadi bualan selepas tular video di media sosial memaparkan individu itu hadir bersama selebriti, Uqasha Sensore di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Selasa lalu (28 Oktober).

Difahamkan, Uqasha yang kini sedang berdepan masalah rumah tangga bersama pelakon, Kamal Adli adalah klien kepada Coach Cerai.

Susulan itu, netizen mula memberi pelbagai reaksi seperti tidak menyangka bahawa penceraian juga mempunyai jurulatih selain mengecam Coach Cerai kerana disangka memberi dorongan kepada pasangan-pasangan yang ingin berpisah.

@mbuzzterhangat Akhirnya Uqasha tiba di perkarangan Mahkamah Syariah sambil ditemani Coach Cerai. #meloditv3 ♬ original sound – Mbuzz Terhangat

Coach Cerai nak bantu selamatkan rumah tangga, bukan ajar orang bercerai

Terbaharu, Coach Cerai atau nama sebenarnya Mohd Izary Muhammed Ikhbal tampil memperjelaskan mengenai skop kerjanya yang sebenar.

“Memang ada yang kecam hingga panggil dasim (syaitan atau jin yang merosakkan rumah tangga) dan persepsi negatif kerana anggap saya nak ajar orang bercerai. Tapi saya tak salahkan mereka, mungkin ada beranggapan begitu kerana tak faham skop kerja saya yang sebenarnya nak bantu selamatkan rumah tangga,” katanya dipetik Harian Metro.

Mohd Izary yang berusia 45 tahun sebelum ini terbabit dalam bidang kewangan, namun menawarkan khidmat sebagai pembimbing merangkap penasihat pasangan yang ingin bercerai sejak Oktober 2024.

Menurutnya, dia memilih untuk beralih kerjaya kerana mahu melakukan perkara baru selepas dua dekad menceburi bidang kewangan.

Mohd Izary pernah bercerai 2 kali, rasa terpanggil untuk bantu pasangan lain

Jelas Mohd Izary, dia merasakan dirinya terpanggil untuk membantu kerana dia juga pernah menempuh episod perceraian selepas dua kali berpisah dengan bekas isterinya.

“Saya ada pengalaman bercerai, yang pertama pada 2006 dan kini dengan isteri hasil perkahwinan kali ketiga.

“Alhamdulillah, rumah tangga saya sekarang sudah bertahan selama 12 tahun dan sebelum ini, saya pernah beri nasihat kepada pasangan yang ada isu rumah tangga supaya tak bercerai.

“Jadi, ada ramai orang terdekat bagi cadangan untuk saya jadi ‘coach cerai’….jadi saya nampak ia satu peluang yang baik kerana saya pun ada pengalaman (pernah berpisah) walaupun bukan terapi, peguam atau doktor,” katanya.

Menurutnya lagi, kliennya juga tidak hanya dalam kalangan rakyat Malaysia, malah ada dari luar negara dengan sesi bimbingan diberikan secara dalam talian.

Coach Cerai tidak keseorangan, isteri turut bantu sebagai penasihat dari sudut pandangan wanita

Berkongsi lanjut, beliau berkata kerjayanya itu tidak dilakukan seorang diri, sebaliknya isterinya, Ungku Zuraida Ungku Izzat turut membantu sebagai penasihat kerana perlu mendapatkan sudut pandangan wanita dalam membantu klien.

“Pendekatan saya adalah dengar masalah klien kemudian bimbing mengikut situasi bersandarkan pengalaman peribadi saya dan perkara pertama adalah bantu perbetulkan pemikiran mereka mengenai rumah tangga.

“Saya tak pernah galak orang bercerai tapi bagi mereka (klien) ‘cermin’ untuk lihat semula diri dan beri kesedaran, bukannya beritahu apa mereka patut buat.

“Alhamdulillah, rata-rata klien puas hati dan beri maklum balas positif. Kepuasannya dapat membantu menyelamatkan rumah tangga kerana pernah ada pasangan yang hampir nak bercerai sebelum ikuti program saya tapi batalkan hasrat keesokannya.

“Ada juga yang klien wanita trauma dengan perceraian tapi akhirnya terbuka hati nak berkahwin lagi tapi semuanya juga berlaku dengan izin Allah SWT,” ujarnya.