
PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan yang tular selepas dirakam ceria melambai dari sebuah kereta uzur mendapat perhatian pempengaruh dan aktivis sosial Sabah, Adrian Edy Siaw Chee Hua.
Adrian Edy, 30, berjaya menemui kanak-kanak dikenali sebagai Mia bersama bapanya pagi tadi selepas meminta bantuan orang ramai mengesan keluarga berkenaan.
Menurutnya, kereta keluarga itu kini dibawa ke bengkel bagi membaiki cermin belakang serta beberapa kerosakan lain.
“Hai semua, selamat petang. Kita sudah jumpa adik Mia dan ayah dia pagi ini. Sekarang kita dalam perjalanan ke bengkel untuk baiki kereta mereka. Nanti siap Edy kemas kini ya,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Adrian turut berkongsi gambar bersama Mia ketika berada di dalam kenderaan berkenaan yang kelihatan sudah lama dan uzur.
Antara kerosakan yang dapat dilihat ialah bahagian cermin belakang yang pecah, selain lampu pada bumbung kabin dipercayai rosak serta tidak mempunyai penutup.
Terdahulu, Adrian meminta bantuan pengguna media sosial untuk mendapatkan maklumat mengenai keluarga berkenaan selepas tersentuh melihat video Mia melambai sambil tersenyum dari bahagian belakang kereta itu.
Menurutnya, selain membaiki kenderaan tersebut, dia turut berhasrat memberikan hadiah kepada kanak-kanak berkenaan.
“Edy perlukan bantuan anda semua untuk dapatkan maklumat tentang keluarga ini. Edy mahu bantu mereka baiki cermin kereta dan kerosakan yang lain serta mahu beri hadiah buat adik ini. Berdasarkan video, lokasi ini di Kota Kinabalu. Boleh mesej Edy secepat mungkin kalau kamu tahu maklumat mengenai keluarga ini,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan tindakan seorang kanak-kanak melambai dari dalam kereta yang agak uzur dengan cermin belakang pecah meraih pelbagai reaksi orang ramai.
Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, kanak-kanak berkenaan yang berada di tempat duduk belakang kereta itu dilihat masih mampu tersenyum.
Sementara itu rata-rata pengguna media sosial turut memuji usaha Adrian membantu keluarga tersebut selain mendoakan agar urusan membaiki kereta berkenaan dipermudahkan.
“Dah agak Adrian akan turun bantu budak ni dan bapanya. Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata Raisya.
“Dalam serba kekurangan, ceria je Mia ni. Terima kasih Adrian sebab peduli dengan kisah mereka,” komen Eisya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya dah jumpa adik Mia, dalam perjalanan ke bengkel kereta’ appeared first on Kosmo Digital.

![[VIDEO] ‘Siapa kenal keluarga ni, saya nak bantu’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-02-at-11.28.18-AM-1024x870.jpeg)


