SHAH ALAM – Seorang bekas penceramah bebas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menabur fitnah mengenai dirinya berkaitan siasatan kes sebaran video lucah, tahun lalu.
Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya berkata, tahun lalu dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang).
Bagaimanapun katanya, pertuduhan pada Jumaat langsung tidak menyentuh perkataan menyebarkan dan memalukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Farid Abu Auliya didakwa miliki gambar bogel, video lucah
“Saya mahu nafikan semua tuduhan pada Julai tahun lalu, sebab sebelum ini saya disiasat mengikut seksyen berbeza,” katanya.
Menurutnya, masa lebih setahun telah diberi kepada portal berita dan pempengaruh supaya menurunkan tajuk-tajuk sensasi terbabit.
Bapa kepada 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun itu meminta perkara berkenaan diperbetulkan dengan segera kerana ia terbabit dianggap mengaibkannya.
**media[3643996]**
“Saya nak jaga nama agama, tapi sebarang fitnah itu memalukan saya, jadi barisan peguam sedang susun langkah untuk meneruskan saman fitnah.
“Ini bukan kes untuk disensasikan, saya tidak mahu menambah dosa orang Islam malah saya ada hak untuk mendapat pembelaan,” katanya ketika ditemui selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Faridul Firdaus meminta orang ramai supaya tidak terus mensensasikan isu berkenaan kerana mendakwa perkara berkenaan membabitkan maruah serta agama.
“Saya sedih sebab sebahagian laporan terdahulu didapati tidak tepat, semuanya salah termasuk dakwaan berkaitan tunggang agama.
“Saya mahu lihat penulis itu, saya harap mereka buat berita yang baik dan jangan tulis tajuk yang bukan-bukan,” katanya.
Dia juga mengucapkan terima kasih warga maya kerana memberi pahala terutama seorang daripada isterinya, yang membuat laporan, bagi meneruskan permohonan cerai.
“Biarpun dia membuat permohonan cerai di Mahkamah Syariah tapi sehingga kini, kami masih bergelar suami isteri,” katanya.
Pada Jumaat, Faridul Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbitnya pada tahun lalu.





