“Saya Ingat Mati Sajalah…” – Luahan Sayu Salih Yaacob Buat Ramai Tersentuh

EntertainmentLifestyle
15 May 2026 • 3:29 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Saya Ingat Mati Sajalah…” – Luahan Sayu Salih Yaacob Buat Ramai Tersentuh

Kuala Lumpur – Ada waktunya, tubuh yang dulu kuat bergelak ketawa di pentas dan menceriakan jutaan pendengar akhirnya mula dimamah usia. Namun di sebalik senyuman dan lawak yang pernah menghiburkan ramai, tersimpan satu hakikat yang pasti dilalui setiap manusia, saat kesihatan mula diuji dan diri semakin mengingati Tuhan. Itulah yang dirasai pelawak dan penyampai radio veteran, Salih Yaacob hingga membuatkan ramai tersentuh dengan luahan terbaharunya.

Pelawak dan penyampai radio terkenal, Ajak Shiro berkongsi momen menyentuh hati ketika menziarahi Salih di kediamannya baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Instagram, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak meluahkan rasa sebak melihat keadaan kesihatan Salih yang kini tidak lagi sekuat dahulu, terutama untuk bergerak dalam jarak jauh.

“Abang saya mengadu katanya jalan sudah tidak berapa kuat. Dekat-dekat sahaja.

“Semoga Allah aturkan yang baik-baik buat Abang Salih Yaacob. Rezeki, jodoh dan umur itu rahsia Allah. Entah bila, siapa dan bagaimana,” tulisnya.

“Saya Ikut Mana Yang Allah Tentukan”

Dalam video sama, Salih, 64, turut meluahkan bahawa dia kini lebih banyak mengingati soal kematian dan reda dengan setiap ketentuan Ilahi susulan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

“Sebab itu tiada guna kita bergantung kepada makhluk. Saya ikut mana yang Allah SWT tentukan.

“Jadi, saya ingat mati sajalah. Tiada perkara lain, apa lagi yang nak difikirkan?” katanya.

Luahan penuh keinsafan itu nyata menyentuh hati ramai, malah ramai mengakui mereka sebak melihat perubahan keadaan Salih yang suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan sikap ceria, lawak spontan dan suara yang sentiasa mencuit hati pendengar.

Netizen Luah Rasa Rindu Dan Titip Doa

Perkongsian tersebut turut dihujani doa dan kata-kata semangat daripada netizen yang berharap agar Salih terus diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik.

Ada yang mengakui mereka merindui keletah Salih ketika aktif di konti radio, malah menyifatkan figura itu antara penghibur yang pernah menceriakan hari-hari pendengar dengan lawak bersahaja dan personaliti yang dekat dengan masyarakat.

Tidak kurang juga yang mendoakan agar Salih diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melalui ujian kesihatan ketika ini. – The Malaysian Update

The post “Saya Ingat Mati Sajalah…” – Luahan Sayu Salih Yaacob Buat Ramai Tersentuh appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article