[VIDEO] CCTV ketukan misteri tular, unsur mistik atau fenomena teknikal?

18 Aug 2026 • 12:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] CCTV ketukan misteri tular, unsur mistik atau fenomena teknikal?

ALOR SETAR – Misteri bunyi ketukan kuat yang kedengaran di beberapa rumah sekitar daerah ini semakin menjadi perhatian apabila orang ramai mula berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian di media sosial.

Rakaman CCTV dari beberapa kediaman di sekitar Jalan Langgar, di sini memaparkan bunyi ketukan kuat pada waktu malam, namun tiada kelibat individu dikesan berada di hadapan rumah.

Menerusi beberapa video yang dikongsikan di Threads dan Facebook, bunyi ketukan kedengaran jelas dan kuat seolah-olah seseorang mengetuk pintu atau bahagian luar rumah, namun rakaman tidak menunjukkan ada individu di situ.

Perkongsian kejadian serta rakaman video itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut tertanya-tanya mengenai punca sebenar bunyi tersebut, malah ada yang mengaitkannya dengan unsur mistik.

Bagaimanapun, terdapat pengguna media sosial yang berpendapat bunyi ketukan tersebut mungkin berpunca daripada fenomena water hammering, iaitu hentakan dalam sistem paip yang berlaku akibat perubahan atau pemberhentian aliran air secara tiba-tiba.

Pengguna Threads asyraffrahim berkongsi tentang fenomena water hammering pada paip utama perbandaran menjadi salah satu penjelasan kejuruteraan yang paling munasabah dengan kejadian tersebut kerana kejadian berlaku pada masa hampir serentak iaitu antara 11 malam hingga 12.30 tengah malam melibatkan kawasan kejiranan di sekitar Pekan Langgar, Taman Lelasari dan Tajar.

“Rumah sekitar Pekan Langgar dan Alor Setar yang kena ketuk pintu tu, adakah berkemungkinan disebabkan ini? Sekadar berkongsi,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sebilangan penduduk di Jalan Langgar dan Pekan Langgar serta beberapa kawasan lain di sini mendakwa terdengar bunyi ketukan misteri di pintu rumah pada waktu malam sebelum terkejut apabila mendapati tiada sesiapa ketika diperiksa.

nurrfariha dalam hantarannya mendakwa pintu rumah diketuk beberapa kali tetapi hasil pemeriksaan tiada sesiapa di situ.

“Ada tak orang Alor Setar kat sini, rumah kita kena ketuk banyak kali malam-malam buta, jiran pun dengar. Dia check CCTV tunjuk kat abang polis tak nampak apa. Nampak gaya aku pun nak kena pasang juga CCTV ni,” katanya dalam hantaran tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] CCTV ketukan misteri tular, unsur mistik atau fenomena teknikal? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved