'Saya masih tak percaya dia dah tinggalkan kami' - Bapa Kapten Zainol Afiq

9 Sep 2026 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya masih tak percaya dia dah tinggalkan kami' - Bapa Kapten Zainol Afiq
Gambar kenangan Bee Sham (duduk, empat dari kiri) bersama isteri dan anak-anak termasuk Zainol Afiq (paling kanan).

SEREMBAN - Bapa kepada Kapten Zainol Afiq Bee Sham yang terbabit dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, pada petang Selasa mengakui masih sukar menerima kenyataan yang anaknya terkorban dalam kejadian itu.

Bee Sham Ahmad, 59, berkata, beliau pada awalnya menyangka kejadian itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

"Saya dapat tahu mengenai kejadian ini pada jam 5.15 petang selepas dimaklumkan oleh anak kelapan saya.

"Pada awalnya saya ingatkan ia hanya nahas biasa dan tidak melibatkan kehilangan nyawa kerana sebelum ini ada juga kes sebegini, tetapi semua penumpang selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, beliau kemudiannya menghubungi rakannya yang bekerja bersama anaknya itu di Miri, yang mengesahkan kejadian berkenaan memang benar berlaku.

"Dia masih muda, baru berusia 31 tahun, saya masih tak percaya dia dah tinggalkan kami.

"Apabila melihat keadaan helikopter yang terhempas itu, kami faham tiada apa lagi dah," katanya.

Bee Sham berkata, sehari sebelum kejadian, Allahyarham sempat berbual dengan ibunya melalui telefon selama hampir sejam seperti mana yang sering dilakukannya.

"Dia hanya berbual seperti biasa dan memang menjadi rutin dia membawa helikopter apabila ada panggilan.

"Memang cita-citanya menjadi juruterbang sejak di bangku sekolah dan pada usia 21 tahun, dia sudah bekerja," katanya.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada 12 beradik sebagai seorang anak yang baik, ceria dan bertanggungjawab.

Katanya, kali terakhir beliau dan isteri bertemu dengan Allahyarham ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan lalu apabila anaknya itu pulang untuk mengundi.

"Hari ini saya bersama isteri, tiga anak serta ibu dan bapa mentua arwah terbang ke Miri dan berharap semua urusan dipermudahkan.

"Saya difahamkan jasadnya masih berada di lokasi kejadian. Kami harap dapat membawa pulang jenazahnya untuk dikebumikan di Negeri Sembilan," katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebaik sampai di sana, sampel asid deoksitibonukleik (DNA) akan diambil bagi tujuan pengeceman mayat.

Terdahulu media melaporkan, sebuah helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di Sarawak.

Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden berkenaan selain memaklumkan pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Kapten Zainol, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Dr Ainul Baraah Kamaruddin,  PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa

Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved