
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menegaskan pendiriannya menolak politik berasaskan identiti yang dibawa UMNO dan PAS kerana pendekatan itu didakwa boleh menyebabkan masyarakat semakin berpecah mengikut kelompok kaum.
Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau turut menolak pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) mutakhir ini kerana berpandangan rentak politik yang dibawa DAP secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada politik identiti UMNO dan PAS.
“Saya menolak politik identiti yang dibawa UMNO/PAS.
“Saya juga menolak politik yang dibawa oleh PH mutakhir ini kerana rentak politik yang dibawa oleh DAP secara tidak langsung menjadi sumbu kepada politik identiti UMNO/PAS,” katanya menerusi satu kenyataan.
Senario politik
Menurut Rafizi, landskap politik negara ketika ini menyaksikan pengundi Melayu semakin tertumpu kepada UMNO dan PAS, manakala pengundi bukan Melayu pula cenderung memberikan sokongan kepada DAP.
Beliau mendakwa keadaan itu mewujudkan persaingan politik yang saling bergantung antara kedua-dua kelompok berkenaan bagi mengekalkan sokongan pengundi masing-masing.
“UMNO/PAS memerlukan DAP untuk menakutkan pengundi Melayu, DAP memerlukan UMNO/PAS untuk menjadi pembela bukan Melayu,” katanya.
Kesan pada masyarakat
Rafizi berpandangan kitaran politik sedemikian berisiko merenggangkan hubungan antara masyarakat, selain menyebabkan isu berkaitan kecekapan pentadbiran, prestasi kerajaan dan dasar pembangunan negara kurang diberikan perhatian.
Sehubungan itu, beliau menegaskan BERSAMA akan terus membawa pendekatan politik alternatif yang menolak persaingan berasaskan identiti kaum meskipun berdepan cabaran daripada parti-parti utama.
Dalam pada itu, Rafizi turut mempertahankan keputusan BERSAMA untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun parti berkenaan gagal memenangi sebarang kerusi dan kehilangan deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandingi.
Katanya, keputusan tersebut tidak mengejutkan memandangkan BERSAMA yang baru berusia enam bulan tidak pernah meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan atau mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya.
“Kami percaya untuk melawan politik identiti di kedua-dua spektrum, kami perlu berani membina kekuatan sedikit demi sedikit untuk memadamkan api besar politik identiti ini,” katanya.
The post ‘Saya menolak politik identiti yang dibawa UMNO/PAS’ – Rafizi appeared first on The Reporter.





