'Saya nak ada masjid, madrasah sebelum meninggal dunia' – Aliff Syukri

3 Sep 2026 • 8:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya nak ada masjid, madrasah sebelum meninggal dunia' – Aliff Syukri
Aliff Syukri semasa sidang media pada Majlis Hi Tea Raja Muda Selangor bersama Pengeluar Zakat pada Khamis.

SHAH ALAM - Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, 37, menyimpan impian untuk membina masjid, madrasah dan rumah anak yatim di Selangor sebagai sebahagian daripada usaha amal kebajikannya.

Aliff berkata, impian itu menjadi antara perkara ingin direalisasikannya sebelum meninggal dunia.

"Kalau boleh, saya nak buat di Selangor sebab walaupun saya lahir di Pahang, namun Selangor adalah tempat saya berniaga dan pasukan saya bekerja kerana ini impian sebelum saya meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi Tea Raja Muda Selangor bersama Pengeluar Zakat di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Aliff belum menetapkan lokasi atau anggaran kos pembinaan kerana masih mencari tapak yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Aliff menyasarkan untuk menjadi antara pembayar zakat terbesar di Selangor setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap negeri yang menjadi lokasi utama perniagaannya.

Katanya, beliau sudah bekerjasama dengan LZS sejak lebih 15 tahun lalu dan menyifatkan institusi itu sebagai pihak yang dipercayainya dalam menguruskan zakat.

"Dalam perniagaan, saya percaya rezeki kita ada bahagian untuk mereka yang kurang berkemampuan.

"Sebab itu apabila kita banyak bersedekah dan membayar zakat, kita percaya lebih banyak rezeki akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai agihan wakalah, Aliff berkata, beliau menerima kira-kira RM800,000 tahun lalu yang kemudiannya disalurkan kepada golongan memerlukan menerusi pelbagai program.

Katanya, antara lokasi agihan termasuk Sungai Petani Kedah, Sungai Besar, Kuala Selangor, Puncak Alam dan Serdang.

"Ramai yang menerima wakalah ini gembira kerana ada antara mereka yang sebelum ini tidak mendapat bantuan.

"Ada yang menerima RM1,000, RM500 selain barangan keperluan asas," tambah beliau.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved