Aliff Rakib mahu berdepan Prajanchai di laman sendiri

12 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aliff Rakib mahu berdepan Prajanchai di laman sendiri

RANTAU PANJANG – Juara dunia interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menyimpan impian untuk membawa pertarungan penyatuan gelaran menentang juara sebenar, Prajanchai P.K. Saenchai di Malaysia pada Oktober depan.

Petarung berusia 22 tahun yang mesra dengan panggilan Aliff Rakib itu percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberikan suntikan semangat kepadanya, selain memberi tekanan kepada jaguh Thailand tersebut.

Malah, Aliff Rakib berharap kerajaan dapat membantu merealisasikan pertarungan yang bakal menentukan juara dunia sebenar berbanding jika diadakan di Bangkok, Thailand.

“Kalau boleh, saya memang mahu perlawanan dengan Prajanchai dibuat di Malaysia. Saya percaya sokongan padu penyokong tempatan akan memberikan semangat kepada saya dan pada masa sama mungkin membuatkan dia (Prajanchai) berasa lebih gentar.

“Sebelum ini walaupun perlawanan saya diadakan di Bangkok, ramai penyokong Malaysia sanggup datang memberikan sokongan. Apatah lagi kalau ia dibuat di Malaysia,” katanya.

Aliff Rakib sebelum ini mencipta kejutan besar apabila menumbangkan jaguh Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima dalam aksi utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Kemenangan itu bukan sahaja mengangkat namanya di pentas antarabangsa, malah membolehkannya bergelar juara dunia interim ONE Strawweight Muay Thai.

Bagaimanapun, Aliff mengakui belum memulakan persiapan khusus untuk pertarungan yang dijangka berlangsung Oktober itu kerana mahu memberikan tubuhnya sedikit masa untuk berehat.

“Saya berehat dulu untuk seketika. Dalam beberapa hari lagi saya akan mula berlatih lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

The post Aliff Rakib mahu berdepan Prajanchai di laman sendiri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved